Pemilik bengkel kimpalan maut melecur, pekerja parah - Utusan Malaysia

Pemilik bengkel kimpalan maut melecur, pekerja parah

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sehingga menyebab letupan di sebuah bengkel di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Taman Mutiara Rini, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik bengkel maut dalam kebakaran yang turut menyebabkan letupan di premis tersebut di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Taman Mutiara Rini, Skudai, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.13 malam itu, mangsa yang berusia 41 tahun yang mengalami kecederaan parah akibat melecur pada bahagian badan dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, ketika kejadian mangsa dan seorang pekerjanya sedang melakukan kerja kimpalan.

“Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah disebabkan letupan yang berlaku semasa premis perniagaannya dijilat api. Letupan itu menyebabkan mangsa yang melecur tidak dapat diselamatkan dan maut di tempat kejadian.

“Sementara itu, pekerjanya yang berusia 27 tahun melecur dan mengalami patah kaki dalam kejadian itu” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rahmat berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat, manakala pekerjanya turut dirawat hospital yang sama.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Faiz Suleiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kebakaran bengkel itu pada pukul 9.13 malam.

Sebanyak tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebuah jentera RRV dan satu utiliti Triton dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Seramai 24 anggota bomba dikejarkan ke lokasi yang turut dibantu anggota dari BBP Larkin dan BBP Pekan Nanas bagi memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa.

“Kebakaran memusnahkan 60 peratus daripada keseluruhan premis. Letupan itu mengakibatkan kerosakan pada cermin tingkap tiga rumah yang terletak kira-kira 30 meter dari bengkel berkenaan kerana gegaran.

Dua buah lori di tempat kejadian turut terbakar, iaitu sebuah lori tangki dan sebuah lori satu tan, manakala sebuah lagi lori 10 tan rosak akibat kesan letupan terbabit, katanya sambil memaklumkan kebakaran itu berjaya dipadamkan pada pukul 11.39 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya