SEREMBAN: Seorang pemandu lori dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000 selepas mengaku salah menyeleweng minyak diesel bersubsidi dan memiliki bahan berjadual itu tanpa lesen sebanyak 2,800 liter, tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Mazni Nawi menjatuhkan hukuman itu kepada orang kena saman (OKS) E. Nagarajan, 25, pada prosiding representasi akhir untuk hukuman hari ini.
Ia selepas mengambil kira dan mempertimbangkan pengakuan bersalah tertuduh, hujahan pihak pendakwaan dan rayuan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 itu dilakukan OKS di Stesen Minyak Shell, Jalan Pantai, Port Dickson pada 17 April 2022, lebih kurang pukul 11.40 malam.
Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Khairul Azman Rosli manakala Nagarajan diwakili peguam, K. Veni Paul.-UTUSAN.