Pemandu ambulans, anak maut kereta bertembung dengan lori - Utusan Malaysia

Pemandu ambulans, anak maut kereta bertembung dengan lori

KEADAAN kereta jenis Proton Saga FL yang dinaiki tiga beranak selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori muatan kayu di Kilometer 37, Jalan Gua Musang-Jeli di Gua Musang, Kelantan, semalam.IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang pemandu ambulans Hospital Gua Musang (HGM) dan anaknya maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan kayu di Kilometer 37, Jalan Gua Musang-Jeli disini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa, Mohd. Zuki Mohamed Ali, 55, dan anaknya Muhammad Hasbullah, 15, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (A) Maahad Muhammadi Gua Musang maut dilokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Sementara itu, seorang lagi anak mangsa, Muhamad Huzaifah, 18, yang duduk di bahagian penumpang hadapan cedera di dada dan dikejarkan ke HGM untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Jeli.

Menurutnya, setiba di lokasi kereta jenis Proton Saga FL dipandu mangsa dipercayai melalui jalan yang sedikit berselekoh telah masuk ke laluan bertentangan dan kemudian bertembung dengan sebuah lori jenis Isuzu membawa kayu.

“Pertembungan itu mengakibatkan mangsa (pemandu) dan anaknya yang berada di tempat duduk penumpang belakang maut di tempat kejadian. 

“Seorang lagi anaknya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan di dada dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Pemandu lori muatan kayu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Choon Foo berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik HGM untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan ahli keluarga untuk dikebumikan.

Katanya, disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh menyalurkan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Trafik Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 017-2830392,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN