SEREMBAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Mohamad Rafie Ab. Malek yang tidak dicalonkan oleh PKR bagi mempertahankan kerusi itu, membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas.
Pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 hari ini, beliau yang memakai baju Melayu tiba bersama kira-kira 50 penyokongnya yang melaungkan ‘Datuk Rafie bebas’ di Pusat Penamaan Calon di Kompleks Belia dan Sukan (Kombes) Paroi di sini pada pukul 8.50 pagi.
Sementara itu, DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Mohamad Rafie akan disaingi oleh calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Ketua Bersatu Cawangan Gedong Lalang, Muhammad Ghazali Zainal Abidin.
Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Ampangan, Zul Fadhli Abd Aziz pada pukul 10.30 pagi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Mohamad Rafie menang di kerusi DUN Ampangan dengan majoriti 1,360 undi menewaskan dua orang pencabar lain.-UTUSAN.