MELAKA: Gangguan pada pelantar menara tinjau Menara Taming Sari Ahad lalu disebabkan kerosakan sumber bekalan elektrik yang menyebabkan mod automatik gagal berfungsi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Menara Taming Sari Berhad, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, kerosakan tersebut mengakibatkan sistem utama terganggu dan pihaknya perlu menukar kepada sistem kecemasan untuk menurunkan pengunjung.
Menurut beliau, masalah berjaya diselesaikan dalam masa yang singkat iaitu seawal pukul 8 malam tetapi pihak pengurusan mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh.
“Menara Taming Sari baru sahaja selesai menjalani penyelenggaraan berkala dua minggu lepas. Mesin ini juga akan direhatkan seketika pada masa tertentu sebelum beroperasi semula untuk membawa pengunjung.
“Analogi yang saya boleh berikan untuk kejadian ini seperti kita menaiki kereta dan tiba-tiba tayar pancit. Jika melibatkan isu teknikal, mungkin akan ditutup lebih lama.
“Justeru, kita telah membuat jadual penyelenggaraan baharu dan pengunjung tidak perlu bimbang kerana Menara Taming Sari selamat untuk dinaiki,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 36 pengunjung yang menaiki Menara Taming Sari berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih setengah jam pada ketinggian 60 meter.
Tindakan pantas pihak pengurusan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya menurunkan kesemua pengunjung tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Tambah Mohd. Noor Helmy, pihaknya sentiasa mengambil langkah ke hadapan dengan menyediakan alat ganti secara one to one, khususnya untuk komponen yang perlu ditempah dari luar negara.
Katanya, komponen tempatan tidak akan disimpan kerana boleh didapati dengan mudah apabila diperlukan.
“Kita belajar daripada kesilapan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lalu apabila menara ini terpaksa ditutup dalam jangka masa lama kerana menunggu alat ganti. Jadi kita sediakan alat ganti lebih awal supaya pembaikan boleh terus dilakukan,” ujarnya.-UTUSAN