GEORGE TOWN: Kewujudan perkhidmatan van dan bas sekolah tidak mempunyai permit di sini dipercayai semakin berleluasa yang bukan sahaja mengundang risiko keselamatan kepada murid tetapi turut menjejaskan pengusaha bas dan van sekolah berlesen.
Sekurang-kurangnya 10 buah van dan bas sekolah haram mengangkut murid dan pelajar di sekolah sekitar bandar ini setiap hari yang beroperasi tanpa permit sah dan tiada Lesen Pengangkutan Awam (PSV).
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Pulau Pinang, Ang Lean Hooi berkata, berdasarkan tinjauannya baru-baru ini, perkhidmatan tersebut juga kini ‘ditawarkan’ di hampir setiap sekolah khususnya dalam kawasan bandar raya di sini.
“Kebanyakannya (pengusaha van dan bas sekolah tanpa permit) pula dikesan menggunakan kenderaan persendirian dan ada dalam kalangan mereka dipercayai membuat beberapa trip perjalanan untuk mengaut keuntungan lebih.
“Kami pernah membuat laporan mengenai isu ini, namun, sehingga kini, ia masih berlaku. Saya menyarankan ahli persatuan atau ibu bapa mengambil gambar atau video berkaitan sebagai bukti dan menyerahkan kepada kami untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa secara rasmi,” katanya kepada Utusan Malaysia sewaktu ditemui pada
Program Penyampaian Bantuan Kepada Pemandu Bas dan Van Sekolah sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Bukit Dumbar di sini. Turut hadir Presiden Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang, Mohd. Arshad Abdul Rahman.
Lean Hooi berkata, ketika ini, terdapat kira-kira 130 ahli persatuan itu yang aktif di seluruh Pulau Pinang dan rata-rata mereka mendakwa pendapatan diperoleh semakin merosot sejak kebelakangan ini akibat persaingan tidak sihat daripada pengusaha perkhidmatan van dan bas sekolah haram.
Katanya, terdapat juga kes melibatkan kenderaan yang membawa pelajar melebihi kapasiti dibenarkan semata-mata untuk mengaut keuntungan lebih tinggi walaupun mengenakan caj sedikit lebih murah berbanding pengusaha berlesen.
“Kami perlu mematuhi pelbagai syarat termasuk menjalani pemeriksaan keselamatan dan membawa penumpang mengikut kapasiti ditetapkan. Kami tidak menentang persaingan, namun biarlah ia berlaku secara adil dan mengikut undang-undang. Jika isu ini tidak ditangani segera, ramai pengusaha berlesen berdepan risiko gulung tikar,” katanya.
Pemandu van sekolah, Soon Chui Lian, 55, berkata, penguatkuasaan konsisten dan menyeluruh penting bukan sahaja melindungi mata pencarian pengusaha berlesen, malah memastikan keselamatan murid terjamin.
Sementara itu, Mohd. Arshad berkata, pihaknya menyokong usaha Persatuan Bas Sekolah Pulau Pinang melaporkan isu tersebut ke pengetahuan pihak berkuasa.
Katanya, kenderaan haram berani berbuat demikian kerana mendapat permintaan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga. – UTUSAN










