PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menjalankan kajian untuk mengenal pasti punca sebenar isu keciciran pelajar yang semakin membimbangkan sejak lima tahun kebelakangan ini.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, trend keciciran murid di peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sejak lima tahun kebelakangan ini disifatkan sebagai mencemaskan.
Jelasnya, secara purata sekitar 30,000 hingga 33,000 murid tercicir saban tahun atas pelbagai faktor terutamanya membabitkan kemiskinan.
Menurut beliau, jumlah tersebut tidak termasuk dengan pelajar yang gagal mendapatkan sijil pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyebabkan golongan itu tidak dapat melanjutkan pengajian dan sebagainya.
“Isu keciciran ini bukan sesuatu yang baharu bahkan jika diteliti pada tahun 1972 dahulu, KPM pernah membentangkan suatu kajian dan solusi yang dikenali sebagai Laporan Murad.
“Sejarah mengajar kita bahawa negara pernah mempunyai satu kajian mengenai isu tersebut dan sudah mengenalpasti faktor menyebabkan keciciran serta dibentangkan solusi oleh KPM sendiri.
“Bagaimanapun, hari ini kita berdepan dengan (isu) keciciran, malangnya sampai hari ini tiada satu pun laporan keciciran yang komprehensif, tiada kajian dan tidak ada solusi (dicadangkan) untuk menyelesaikan isu tersebut selepas 50 tahun Laporan Murad dilaksanakan,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook miliknya hari ini.
Tegas beliau, isu tersebut perlu ditangani dengan segera sebelum boleh membincangkan isu pendidikan, guru, sekolah, silibus bahkan infrastruktur berkualiti bertaraf dunia.
“Kadang-kadang bunyinya sedap tetapi sebenarnya kita masih di dalam ruang yang berhadapan dengan isu kemiskinan yang mempengaruhi pendidikan. Sebenarnya, di akar umbi sana, apa yang berlaku di sekolah bukanlah soal kualiti sebaliknya tentang akses kepada pendidikan.
“Masih ramai yang tidak mendapat akses kepada pendidikan, tidak menamatkan persekolahan, tidak mendapat guru yang cukup, belajar di dalam kelas yang terlalu ramai murid selain murid tidak dinilai secara objektif,” katanya.
Menurut beliau, isu akses pendidikan terhadap semua golongan tanpa mengambil kira latar belakang seharusnya diselesaikan terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum membincangkan isu kualiti pendidikan.
“Jika tidak jurang pendidikan akan semakin ketara antara satu kumpulan murid dengan yang lain,” katanya.-UTUSAN