Kerajaan akan rangka dasar banteras Ali Baba

Kerajaan akan rangka dasar banteras Ali Baba

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan merangka dasar serta strategi perundangan bersesuaian untuk membanteras kegiatan ‘Ali Baba’ (rent-seeking) yang me­ninggalkan kesan negatif kepada ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam mesyuarat semalam telah bersetuju untuk melaksanakan inisiatif itu me­lalui penglibatan Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, kementerian serta agensi berkaitan.

Anwar menegaskan, budaya Ali Baba memberi kesan negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius untuk mena­ngani serta membasmi aktiviti tersebut.

“Anggaran kerugian mence­cah sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota serta pemberian subsidi dan geran.

“Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara dengan penglibatan kementerian dan agensi kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar serta strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan itu kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Aktiviti Ali Baba yang memajakkan lesen perniagaan kepada pihak ketiga semakin menjadi barah dalam kalangan peniaga tempatan termasuk menjual atau menyewakan ­lesen perniagaan kepada warga asing.

Kegiatan menjual tapak atau lesen perniagaan antara punca lambakan peniaga warga asing yang terus menguasai lokasi perniagaan utama.

Golongan ‘Ali Baba’ atau juga dikenali sebagai ‘rakan kongsi tidur’ turut wujud menerusi kumpulan tertentu yang mahu menguasai sebanyak mungkin rantaian bekalan dan projek kerajaan, termasuk yang dikhaskan untuk bumiputera.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dipercepatkan selaku pemang­kin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

Kata beliau, projek-projek Flagship Rintis dan inisia­tif NETR dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam me­neroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran.

Ini termasuk mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.

“Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan 10 projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion.

“Mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara me­lebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative),” katanya.

Anwar berkata, peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai ini dan disusuli Fasa Kedua pada bulan depan.

Dalam pada itu, katanya, MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tantangan melibatkan perekonomian negara, bagi memastikan penambahbaikan tatakelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.

Jelas beliau, kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, nilai kerugian akibat kegiatan Ali Baba dianggarkan berjumlah kira-kira RM15 bilion jika dinilai dari kadar satu peratus daripada KDNK negara.

Beliau berkata, nilai KDNK negara pada 2022 direkodkan sebanyak RM1.5 trilion.

Menurut beliau, kegiatan Ali Baba merugikan kepada ekonomi negara kerana banyak projek yang boleh dilaksanakan dengan kos lebih rendah tetapi disebabkan aktiviti ini berlaku pembaziran.

Katanya, ia merupakan salah satu daripada tiga elemen yang membantutkan ekonomi iaitu pembaziran, ketirisan dan rasuah.

“Ini suatu yang serius. Kalau kata satu peratus nilai kerugian ini amat signifikan melibatkan RM15 bilion iaitu hampir dua kali ganda daripada bantuan tunai kepada golongan B40. Nilai ini yang kerajaan boleh tanggung untuk membantu ramai orang.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×