Kepala air: Jenazah Muhammad Fikri disemadi berhampiran

Kepala air: Jenazah Muhammad Fikri disemadi berhampiran pusara ibu

SHAHRIZAL menyiram air mawar ke atas pusara arwah adiknya, Muhammad Fikri yang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor pagi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Jenazah mangsa lemas kepala air di Jeram Mawar Air Putih, Kemaman, Terengganu, Muhammad Fikri Saliman, 24, yang ditemukan pagi semalam selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Semerah di sini pagi hari ini.

Jenazah Allahyarham Muhammad Fikri dikebumikan kira-kira pukul 7 pagi berhampiran pusara ibunya, Zaitun Rashid yang meninggal dunia pada Mac tahun lalu.

Menurut abang mangsa, Shahrizal, 40, mereka sekeluarga menzahirkan rasa syukur apabila hasrat keluarganya untuk semadikan arwah adik bongsu daripada lima beradik itu berhampiran pusara ibu tercinta.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga sangat bersyukur dapat jumpa dan sempurnakan jenazah adik saya.

“Jenazah adik dikebumikan dekat dengan kubur emak, sebab kawasan kubur emak sudah penuh, jadi dapat kebumi berhampiran sudah cukup, itu hasrat keluarga kami,” katanya.

Shahrizal yang merupa anak kedua itu berkata demikian ketika ditemui selepas selesai pengkebumian Allahyarham Muhammad Fikri di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Semerah di sini.

Terdahulu, jenazah Muhammad Fikri dituntut ahli keluarga di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.30 malam tadi sebelum tiba di Masjid Jamek Seri Pengkalan di sini pada pukul 4.15 pagi.

Jenazah kemudian disolatkan selepas solat Subuh.

Semalam, polis mengesahkan mayat yang lelaki yang ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian kelapa air berkenaan sebagai Muhammad Fikri.

Mayat yang ditemukan kira-kira pukul 9.20 pagi itu disahkan sebagai Muhammad Fikri berdasarkan proses cap jari yang sepadan dengan mayat mangsa.

Muhammad Fikri dan seorang lagi mangsa Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dijangka melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini selepas mengikat tali pertunangan Mac lalu.

Pasukan mencari dan menyelamat kini memberi tumpuan pencarian di kawasan sektor A bagi mencari seorang lagi mangsa Putri Nur Fatin Karim, 14, yang masih hilang.

Dalam kejadian Sabtu minggu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu dari Batu Pahat, Johor dilaporkan hilang dan lemas dihanyutkan kepala air.

Setakat ini, sembilan jasad mangsa tragedi kepala air ditemukan termasuk Muhammad Fikri sejak enam hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula Ahad lalu.

Jasad Allahyarham Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, ditemui pada Ahad dan Isnin lalu.

Manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemui pada Selasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN