Kartunis Lat diangkat sebagai Seniman Diraja

Kartunis Lat diangkat sebagai Seniman Diraja

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berangkat melawat Galeri Rumah Lat di Batu Gajah, semalam. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. – MINGGUAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengisytiharkan kartunis Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat sebagai Seniman Diraja.

Baginda mengumumkan perkara itu pada perasmian Galeri Rumah Lat di sini semalam.

“Mengiktiraf peranan dan sumbangan besar lagi bermakna Datuk Mohamad Nor Khalid memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa, dengan sukacitanya Beta mengumumkan beliau sebagai Seniman Diraja,” titah baginda.

Sultan Nazrin menyifatkan Lat sebagai seorang seniman yang dikurniakan Allah bakat sangat istimewa dan luar biasa.

Titah baginda, sumbangan dan penglibatan Lat dalam dunia kartun tanah air amat terserlah serta berjaya mengangkat dirinya sebagai tokoh kartunis yang cerdas, bersifat genius, serta memiliki identiti yang unggul.

“Lakaran bersahaja melalui garapan pengalaman telah meletakkan karya-karya Lat di kelas tersendiri, melayakkan beliau dianugerahi dengan pelbagai penghargaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang turut mengharumkan nama negara.

“Karya-karya beliau menggambarkan pandangan dan analisis peribadinya terhadap pelbagai isu, menyentuh kehidupan rakyat jelata pemimpin politik dan pemimpin negara, menyentuh isu-isu tempatan, nasional dan antarabangsa.

“Di sebalik karikatur lucu yang dikembari dengan dialog ringkas, terkandung falsafah, mesej-mesej yang serius, sindiran yang tajam, diolah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, tanpa mengundang konflik dan permusuhan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, karikatur Lat banyak menceritakan tentang apa yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk sebagai khazanah berharga negara ini.

“Lat memilih mengetengahkan elemen-elemen persamaan (common denominator) anggota masyarakat yang pelbagai itu; seperti kegembiraan majlis perkahwinan, kemeriahan hari kebesaran, alam sekolah, mengalami kesesakan jalan raya, menikmati makanan di restoran dan pelbagai lagi.

“Karyanya membawa mesej jelas bahawa rakyat yang pelbagai itu sebenarnya memiliki naluri asas mahu hidup secara aman dan harmoni dalam semangat saling hormat-menghormati, rakyat yang pelbagai itu pada asasnya tidak berprasangka buruk antara satu sama lain hanya kerana berlainan kaum, agama, budaya dan penguasaan bahasa,” titah baginda.

Mengenai Galeri Rumah Lat, Sultan Nazrin bertitah, pembukaannya yang memakan masa yang panjang bukan sahaja kepada Lat dan keluarga tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Titah baginda, Galeri Rumah Lat mengabadikan hasil seni dan karya Lat dan pengamatannya tentang kehidupan yang berwarna-warni dijelmakan melalui beberapa karya popular seperti Kampung Boy dan Town Boy dan kedua-dua karya itu merupakan antara contoh penelitian yang terperinci mengenai kehidupan di desa dan di bandar yang meliputi pelbagai isu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×