Jenazah Pahamin Rajab dikebumi di London hari ini - Utusan Malaysia

Jenazah Pahamin Rajab dikebumi di London hari ini

Pahamin Rajab
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenazah bekas Pengerusi AirAsia, Datuk Pahamin Rajab dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gardens of Peace, Five Oaks Lane, Chigwell, kira-kira 32 kilometer dari kota London, United Kingdom hari ini.

Menurut permakluman keluarga Pahamin, Allahyarham yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan itu dijangka disemadikan di tanah perkuburan tersebut selepas waktu Zuhur.

Katanya, jenazah sebelum itu akan dimandikan pada waktu pagi.

“Insya-Allah disolatkan dan akan dikebumikan 12 Julai. Jenazah akan dimandikan pada waktu pagi dan dijangka pengebumian dilaksanakan selepas Zuhur.

“Sekiranya terdapat pertukaran masa, kami akan maklumkan kelak,” jelas kenya­taan itu.

Keluarga Allahyarham kemudian memohon doa orang ramai agar segala urusan pengebumian di­permudahkan di samping agar dosa tokoh perniagaan itu diampunkan serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Kelmarin, menantu Pahamin, pelakon Azhar Sulaiman memaklumkan bapa mentuanya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London, awal pagi Ahad lalu.

Menurutnya, Pahamin, 77, pergi ke London untuk menghadiri hari graduasi anak lelakinya.

“Dukacita saya nak maklumkan bapa mentua saya Datuk Pahamin Rajab baru meninggal dunia.

“Dia baru sampai London kena serangan jantung dalam penerbangan dan sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya ada kat London,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×