PONTIAN: “Impian ayah untuk meninggal dunia ketika sedang berkhidmat untuk rakyat tercapai dengan pemergiannya malam semalam.”
Demikian luahan anak sulung Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Iskandar Zulkarnain, 37.
Dalam masa sama, katanya, mereka sekeluarga telah lama menerima hakikat bahawa ayahnya bukan ‘milik’ mereka sahaja, malah ‘dikongsi’ dengan rakyat Malaysia.
DIDIDIK
“Dia memang pernah cakap kalau dia meninggal dunia, biarlah dalam keadaan sedang bekerja untuk rakyat. Kami dari kecil sudah dididik yang dia selalu tiada bersama kami, sebaliknya selalu bersama rakyat.
“Terlalu banyak nasihat dia yang saya ingat, sebelum ini dia juga pernah pesan agar jangan campur urusan kerjanya dan mengajar kami untuk berdikari dalam kehidupan. Kami reda apabila dia sudah capai impiannya,” katanya ditemui selepas mengimamkan solat jenazah ayahnya di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di sini, semalam.
Iskandar yang bekerja sendiri mewakili keluarga memohon supaya semua pihak mendoakan agar roh ayahnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup diberi ketenangan dan dosanya diampuni Allah SWT.
“Seandainya Allahyarham ada tersilap dan terkasar bahasa, atau apa-apa yang buruk, kami minta maaf,” katanya.
KESIHATAN
Sementara itu, isteri Allahyarham, Datin Seri Fatimah Taha, 60, memberitahu, suaminya adalah seorang individu yang sangat menjaga kesihatan dan pemakanannya.
“Tekanan darah dia ‘okay’, bacaan gula pun ‘okay’, cuma apa yang sebabkan ‘burst’ (pendarahan otak) adalah mungkin kerana dia penat sangat. Syukurlah saya berada bersamanya ketika dia jatuh sakit hari itu (Jumaat), saya tidak boleh bayangkan kalau dia berseorangan, bagaimana hendak bertahan dengan sawan dan sebagainya,” katanya dalam nada sebak.
Ibu kepada enam orang anak itu mengakui akan merindui Allahyarham kerana beliau kebiasaan akan bersamanya dalam kebanyakan program yang dihadiri Ahli Parlimen Pulai tersebut.
“Sebelum ini, dia akan sentiasa balik selepas keluar tinggalkan saya untuk bekerja, tetapi sekarang dia tinggalkan saya dan tidak akan balik lagi,” katanya.
Dalam pada itu, adik Salahuddin, Ghazaley, 56, pula menyifatkan abang sulungnya itu seorang yang komited terhadap kerjanya apabila diberikan amanah, namun dalam masa sama tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap keluarga.
“Allahyarham seorang yang periang dan penyayang serta menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga ini selepas bapa kami meninggal dunia pada 2009.
“Kami cuma tiga beradik lelaki dan kalau dengan emak, Aminah Abdullah, 83, sekurang-kurangnya dua kali sebulan beliau akan pulang ke rumah, ziarah emak walaupun sekejap untuk cium tangan,” jelasnya.
Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram meninggal dunia pukul 9.23 malam semalam selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak, Jumaat lalu.
Allahyarham meninggalkan Fatimah, empat anak lelaki dan dua perempuan serta 11 cucu. – UTUSAN










