Grab ketepi cadangan denda RM86.77 juta

Grab ketepi cadangan denda RM86.77 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Grab Holdings Inc. dan dua anak syarikatnya berjaya mengetepikan cadangan denda RM86.77 juta selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan semakan kehakiman syarikat terbabit.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas mendapati cadangan untuk mengenakan jumlah denda tersebut oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melanggar prosedur dan keadilan semula jadi.

“Sehubungan itu, perintah certiorari untuk membatalkan keputusan yang dicadangkan (proposed decision) termasuk cadangan denda adalah dibenarkan.

“Tiada sebarang perintah dibuat berhubung ganti rugi kerana pemohon (Grab Holdings) gagal menunjukkan bahawa MyCC mempunyai niat jahat dalam menerbitkan kenyataan media (berhubung cadangan denda) itu,” katanya.

Hakim turut memerintahkan MyCC membayar kos RM20,000.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid itu berkata demikian pada permohonan semakan kehakiman dikemukakan Grab Holdings Inc (Grab Holdings) dan dua anak syarikatnya, GrabCar Sdn. Bhd. dan MyTeksi Sdn. Bhd. bagi mencabar cadangan MyCC mengenakan denda RM86.77 juta terhadap mereka.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, Grab Holdings dan anak-anak syarikatnya diwakili peguam Lim Yvonne dan Shanti Kandiah manakala MyCC diwakili peguam-peguam Kwan Will Sen dan Muayyad Khairulmaini.

Pada 3 Oktober 2019, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail (ketika itu) dalam satu kenyataan berkata, denda RM86.77 juta adalah termasuk denda itu turut melibatkan penalti harian RM15,000 bermula pada tarikh sama.

Tambah Iskandar, klausa Grab tersebut menjadi isu selepas penggabungan antara Grab dan Uber Technologies Inc. pada Mac 2018 untuk operasi di Asia Tenggara.

Jelasnya, penggabungan itu secara tidak langsung menjadikan Grab sebagai pemain dominan dalam pasaran e-hailing Malaysia dan sejak itu MyCC telah menerima banyak aduan.

Grab Holdings dan dua anak syarikatnya itu memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan cadangan MyCC untuk mendenda syarikat-syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi, pada Februari 2020, menolak permohonan Grab Holdings kerana mahkamah menganggap langkah itu terlalu awal memandangkan keputusan yang dicadangkan itu belum muktamad.

Pada 19 April 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Grab Holdings dan dua anak syarikatnya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar cadangan MyCC untuk mendenda syarikat perkhidmatan e-hailing itu.

MyCC mendakwa Grab menyalahgunakan kedudukannya yang dominan dengan mengenakan beberapa klausa sekatan ke atas pemandunya bagi menghalang mereka mempromosikan pesaing syarikat itu di platform e-hailing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN