SEREMBAN: Skim gaji penjawat awam akan disemak semula selepas mengambil kira tiada sebarang kenaikan diberikan untuk satu tempoh yang lama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali terakhir gaji penjawat awam yang dianggarkan seramai 1.6 juta dinilai pada 2013 iaitu 10 tahun lalu.
Beliau berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed untuk mewujudkan pasukan meneliti perkara itu.
“Jemaah Menteri akan membincangkan perkara itu minggu depan supaya diberikan kelulusan dan pasukan yang dibentuk itu boleh memulakan kerja dan memberikan cadangan kepada kerajaan untuk meningkatkan (skim gaji penjawat awam),” katanya.
Anwar berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini semalam.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Mohd. Zuki dan Dr. Zulkapli.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertimbangan menaikkan gaji itu wajar selepas mengambil kira skim gaji penjawat awam sedia ada berada tahap yang rendah.
Bagaimanapun, beliau tidak menetapkan jangka masa bagi perbincangan itu mahu pun peratusan kenaikan yang dijangka diberikan kerana perakara itu masih awal.
BAIK
“Sebaik sahaja ekonomi kita dalam setahun ini bertambah baik, saya akan berikan keutamaan supaya upah dan gaji penjawat awam setimpal dengan usaha mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam untuk bersama kerajaan melawan rasuah bagi menyelamatkan negara.
“Negara ini kaya, pernah mencatat satu keadaan yang jauh lebih baik walaupun tidak sepenuhnya cemerlang, namun merosot kerana budaya kita, siapa yang ada kuasa, siapa yang jadi Perdana Menteri maknanya isteri dia, anak dia, keluarganya, kroninya, semua akan dapat habuan.
“Saya percaya dan minta penjawat awam untuk berikan kerjasama dan sokonglah langkah selamatkan negara kita. Bagaimana kita mahu selamatkan adalah dengan menjaga khazanah ini dengan penuh amanah,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, tidak guna untuk sesetengah pihak berucap dalam soal selamatkan orang Melayu dan selamatkan Islam namun negara ini dipimpin oleh individu yang mahu ‘menyakau’ harta rakyat.
“Orang kata Anwar keras sangat mengenai rasuah, setiap pidato cakap soal rasuah, sebab rasuah ini sudah menular, yang hilang berpuluh bilion ringgit, mana boleh negara diurus kalau kita selamatkan orang yang sakau berbilion-bilion ringgit,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM200 juta tahun ini bagi membaik pulih dan menyelenggara Rumah Angkatan Tentera di seluruh negara yang tidak memuaskan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali lagi menegas dan menempelak pihak-pihak yang mendakwa kerajaan ditadbirnya ketika ini merupakan kerajaan yang anti-Islam
“Saya tidak datang ke sini untuk pertahankan DAP, tetapi saya tengok pengalaman saya sekarang dalam kerajaan dengan kepemimpinan PH, UMNO dan DAP, kita buat keputusan, tidak pernah berlaku dalam sejarah, peruntukan untuk agama Islam lebih tinggi sekarang berbanding dahulu,’’ kata Perdana Menteri. – UTUSAN










