Calon muda jangan bongkak, jaga etika - Hairi - Utusan Malaysia

Calon muda jangan bongkak, jaga etika – Hairi

MOHD. HAIRI MOHD. SHAH (tiga dari kiri) melancarkan Skuad Muda Southern Volunteers (SV) Sekolah Peringkat Negeri Johor Sekolah 2023 di SMK Dato' Jaafar, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon muda yang dinamakan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan diingatkan jangan bongkak dan sentiasa menjaga etika sepanjang tempoh berkempen.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, calon yang terpilih perlu memikul tanggungjawab yang besar untuk memenangkan parti.

“Saya ada menghubungi beberapa calon muda yang akan bertanding nanti. Saya ingatkan mereka supaya jaga etika dan perangai selain jangan sombong atau bongkak. 

“Bagi yang tidak layak pula, jangan berkecil hati atau rasa ketinggalan dan Ketua Pemuda baharu jangan ambil langkah pelik, ini adalah penyusunan strategik kepimpinan parti,” katanya ditemui selepas melancarkan Skuad Muda Southern Volunteers Sekolah Peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Jaafar, di sini hari ini.

Minggu lalu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN di enam negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos ini.

Dalam pada itu, Mohd. Hairi berkata, Pergerakan Pemuda UMNO berpuas hati dengan tindakan parti yang memberikan kepercayaan kepada calon muda untuk bertanding pada PRN kali ini.

Beliau berkata, keputusan itu adalah langkah awal proses merejuvenasikan parti seperti yang dirancang sebelum ini.

“Saya sempat mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ucapkan terima kasih kerana beri kepercayaan kepada calon muda.

“Saya berbesar hati melihat ramai calon muda, khususnya rakan seperjuangan dalam pergerakan Pemuda sejak jadi pembangkang dan menjadi kerajaan kini bergelar calon. Tindakan parti meletakkan ramai calon muda adalah proses harus dipuji. Ini menandakan proses merejuvenasikan parti telah bermula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN