PUTRAJAYA: Kerajaan disyor mengusulkan Rang Undang-Undang (RUU) yang memperuntukkan senarai kesalahan dan hukuman kepada pemimpin politik yang mengingkari larangan menyentuh isu-isu melibatkan agama, raja dan kaum (3R).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, RUU itu melibatkan kesetiaan sumpah dalam Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan suatu kesalahan dan menetapkan hukuman terhadap mana-mana pemimpin politik khususnya dalam kalangan ahli Parlimen yang mengingkarinya.
Menurut Profesor Madya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, ahli Parlimen seharusnya menjaga sumpah jawatan itu dengan mempertahan Perlembagaan Persekutuan sepanjang tempoh amanah yang diberikan.
“Terdapat tiga bentuk dalam Sumpah Jadual Keenam iaitu Sumpah Jawatan dan Setia, Sumpah sebagai ahli Parlimen dan Sumpah Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang perlu ditandatangani oleh pihak berkenaan dalam cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman.
“Sumpah Setia mensyaratkan ahli Parlimen berikrar untuk jujur menunaikan kewajipan jawatan dengan segala daya upaya selain menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia serta memelihara, melindungi dan mempertahan perlembagaan,” katanya di sini semalam.
Wan Ahmad Fauzi berkata, RUU Kesetiaan Sumpah Jadual Keenam Perlembagaan itu boleh memelihara prinsip keluhuran perlembagaan dan mengikat pemimpin daripada bertindak sewenang-wenangnya.
Jelasnya, ia juga boleh menyerlahkan kepemimpinan melalui tauladan kepada penyokong mereka serta orang awam.
“RUU ini bukan sahaja terpakai kepada ahli Parlimen, malah mereka yang dilantik sebagai ahli Jemaah Menteri dan para hakim yang disyaratkan oleh perlembagaan untuk mengikrarkan sumpah di bawah Jadual Keenam itu.
“Pihak yang melaksanakan fungsi kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman mempunyai tanggungjawab perlembagaan kerana Malaysia menjunjung kedaulatan raja-raja, keluhuran perlembagaan dan demokrasi berperlembagaan yang tidak memberi kuasa mutlak kepada Parlimen,” katanya.
Beliau berkata, terdapat empat intipati kepada kesalahan di bawah cadangan RUU ini khusus bagi ahli Parlimen iaitu pertama tidak mematuhi tatacara dalam penggubalan undang-undang, contohnya cadangan penggubalan undang-undang dikemukakan di Parlimen tanpa mematuhi Perkara 38(4) yang mensyaratkan perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) terlebih dahulu dalam perkara yang dinyatakannya.
Kedua, tidak memelihara, melindungi dan mempertahankan peruntukan Perkara 159(5) yang mensyaratkan perkenan MRR dalam perkara yang dibutirkannya apabila undang-undang itu dilanggar.
Ketiga, membawa dan cuba mengembangkan ideologi, pemikiran, seruan dan kempen untuk menghapuskan prinsip kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri; kedudukan raja-raja Melayu; bahasa Melayu; kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri; serta perkara yang diberi jaminan oleh Perlembagaan seperti terjumlah dalam Perkara 38(4) dan 159(5).
“Kesalahan keempat ialah membangkitkan isu 3R dengan matlamat untuk meraih sokongan secara tidak wajar dan tidak jujur,” katanya. – UTUSAN










