Cabaran Akta 814 dalam menaik taraf undang-undang syariah

Cabaran Akta 814 dalam menaik taraf undang-undang syariah

MAJDAH Muda pada Forum Mencorakkan Masa Hadapan Amalan Guaman Syariah sempena Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia (IMLC 2023) di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Akta 814 atau Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 diharap dapat menjadi pemangkin dalam mewujudkan majlis peguam syarie dan badan peguam syarie merentas sempadan negeri-negeri di Malaysia.

Menurut Setiausaha Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP), Majdah Muda berkata, pada ketika ini, antara cabaran-cabaran untuk mewujudkan badan statutori bersifat profesional seperti BPSWP di bawah Akta 814 di negeri-negeri lain disebabkan peruntukan undang-undang sedia ada yang meletakkan ia di bawah bidang kuasa negeri.

“Sebelum pelaksanaan Akta 814 ini, sudah terdapat usaha-usaha untuk menyeragamkan operasi dan undang-undang syariah di seluruh negara, namun, tidak dapat dimuktamadkan kerana isu bidang kuasa negeri dan peruntukan enakmen negeri yang berbeza.

“Pada ketika ini, pihak MPSWP dijemput oleh beberapa buah negeri untuk berbincang, bertukar fikiran serta berkongsi pengalaman mengenai pelaksanaan Akta 814 dan sejauh mana keberkesanan Akta 814 tersebut,” kata Majdah yang juga merupakan seorang peguam syarie dan sivil.

Agama Islam merupakan urusan negeri dan hal berkaitan Islam termasuk undang-undang syariah serta amalan guaman syarie berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan raja-raja bagi negeri-negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Majdah memberitahu, dengan pelaksanaan Akta 814 itu peguam-peguam syarie kini dikawal selia di bawah satu badan statutori profesional yang setaraf dengan Majlis Peguam Malaysia yang merupakan badan statutori profesional yang mengawal peguam-peguam sivil.

“Sebelum kewujudan Akta 814, peguam-peguam syarie tidak dikawal satu badan profesional yang bebas. Oleh itu, perihalan daftar firma guaman syarie atau isu aduan berkenaan etika peguam syarie atau isu pendaftaran peguam-peguam syarie dikendalikan oleh pihak Jawatankuasa Peguam Syarie (yang bukan satu badan berkanun di bawah Akta).

“Dengan adanya Akta 814, semua perihalan peguam-peguam syarie diurus selia atau urus tadbir oleh Badan Peguam Syarie atau Majlis Peguam Syarie. Sebelum Akta 814, urus selia atau urus tadbir peguam-peguam syarie terletak dalam kalangan  antaranya pegawai dari Majlis Agama Negeri, ahli-ahli dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri  yang bukan terdiri daripada kalangan peguam-peguam syarie sepenuhnya,”kata peguam itu.

Majdah berkata demikian dalam Forum Mencorakkan Masa Hadapan Amalan Guaman Syariah yang diadakan di Hotel Shangri La di sini sempena Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia (IMLC 2023).

Turut menjadi panel pada forum yang dikendalikan oleh peguam, Fakri Azzat ialah  Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-Undang Syariah Majlis Peguam, Zainal Abidin Shaik Zakaria.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, pelaksanaan Akta 814 akan membuka lebih banyak peluang dalam amalan guaman syariah.

“Selama ini, apabila menyebut mengenai syariah, pandangan masyarakat hanya berkisarkan hal keluarga, cerai berai dan sebagainya sedangkan ia turut meliputi kewangan seperti pengeluaran sukuk,”katanya.

Namun, dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Akta 814 cabaran dan isu seperti persepsi awam, mengharmonikan hubungan undang-undang syariah dan sivil serta mengekalkan kebebasan perlu diatasi dengan bijak.

“Dengan menangani cabaran-cabaran ini secara proaktif, Malaysia mampu mencorak masa hadapan yang mana amalan guaman syariah akan berdaya maju, mendukung keadilan, kesamarataan dan kedaulatan undang-undang (rule of law).

“Adalah menjadi tanggung jawab para peguam untuk mengubah pemikiran masyarakat bahawa undang-undang syariah adalah satu konsep yang boleh diguna pakai oleh semua pihak,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya