SUNGAI PETANI: Kira-kira lapan buah rumah di lima kampung dalam daerah Kuala Muda rosak akibat kejadian ribut kira-kira pukul 5.30 petang tadi.
Antara kampung terjejas adalah Kampung Berapit, Kampung Telok Wang Besar, Kampung Telok Wang Kecil, Kampung Kuala Dahanan dan Kampung Seri Gading.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, kesemua rumah terbabit mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung rumah yang diterbangkan angin.
“Pemeriksaan mendapati kesemua penghuni di lapan rumah berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Dalam pada itu, kejadian sama turut mengakibatkan enam buah gerai menjual jagung yang terletak di kaki Gunung Jerai, Yan dekat sini rosak dilanda ribut.
Pegawai APM Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6 petang dan laporan mendapati tiada kecederaan dialami pengusaha gerai di lokasi itu. -UTUSAN










