Bekas peguam 1MDB: Jasmine akan dedah semuanya - Utusan Malaysia

Bekas peguam 1MDB: Jasmine akan dedah semuanya

Beberapa individu lain terus dijejaki polis bagi menyelesaikan siasatan jenayah dalam 1MDB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan yang kini dalam tahanan reman polis sedia mendedahkan apa yang berlaku termasuk perjalanan hidupnya sepanjang berada di luar negara sejurus meninggalkan Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Peguam Amer Hamzah Arshad dan Edmund Bon dalam satu kenyataan semalam berkata, anak guam mereka itu kini berada dalam tahanan polis se­telah direman.

“Anak guam saya iaitu bekas peguam 1Malaysia Development Bhd bersedia mencerita­kan bagaimana perjalanan hi­dupnya ketika berada di luar ne­gara sejurus meninggalkan Ma­laysia sebelum PRU14,” kata kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu, buat ma­sa sekarang Jasmin, 49, memerlukan privasi dan ruang untuk melakukan apa yang sepatutnya sebelum dibenarkan kembali ke pangkuan keluarga.

“Jasmine menyerah diri atas kehendak sendiri selepas bera­sa yakin dengan sistem kehakiman negara ketika ini,” kata ke­nyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, tindakan menyerah diri juga adalah kerana Jasmine mahu bekerjasama dengan agensi pe­nguatkuasaan yang masih me­lakukan siasatan ke atas 1MDB.

“Tindakan Jasmine boleh me­mudah dan membantu kerajaan mempercepatkan usaha pe­mulihan aset. Jasmine juga, bersedia melalui sistem perun­dangan dalam menghadapi dak­waan terhadapnya,” kata ke­nyataan tersebut.

Semalam, Menteri Dalam Nege­ri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan penahanan Jasmine dan memaklumkan wa­nita itu direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Jasmine ditahan Jumaat lalu selepas hadir menyerah diri bersama peguamnya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas secara terperinci mengenai prosedur kepulangan wanita yang menjadi buruan tersebut.

SIASATAN

Menurut beliau, Jasmine disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan polis turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mereka memerlukan Jasmine sebagai saksi atau membuka siasatan.

“Kita tidak boleh mendedahkan lebih lanjut mengenai Jasmine kerana bahaya untuk dirinya sendiri (Jasmine) dan demi keselamatannya.

“Polis sebagai badan penguat kuasa menjaga keselamatan harta dan nyawa. Kita tahu apa bahaya dia akan hadapi nanti,” kata beliau pada sidang media di Bukit Aman semalam.

Pada sidang akhbar sama, Razarudin berkata, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan beberapa individu lain berkaitan skandal 1MDB masih dalam radar polis.

Menurut beliau, polis tidak boleh mendedahkan keberadaan individu-individu tersebut untuk tidak menjejaskan taktikal siasatan.

“Polis tidak menghentikan siasatan 1MDB. Kalau bekas peguam 1MDB Jasmine pun kita tahan jadi, tidak mustahil yang lain (individu) pun juga akan ditahan. Beberapa individu dalam radar kita,” tegas beliau.

Pada Mei lalu, SPRM mendedahkan Jho Low bersembunyi di Macau manakala pada 2020, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula memaklumkan ahli perniagaan itu dan beberapa individu lain sedang bersembunyi di China.

Difahamkan, selain Jho Low, individu lain masih diburu berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd ialah ahli perniagaan, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN