Ayob:  Polis tiada komplot kes Sanusi

Ayob:  Polis tiada komplot kes Sanusi

AYOB Khan Mydin Pitchay bersama atlet PDRM yang menyertai Kejohanan World Police and Fire Games 2023 di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menyifatkan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya terdapat rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya dirancang sejak enam bulan lalu sebagai tidak berasas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan terdapat komplot itu dan penahanan yang dilakukan terhadap pemimpin berkenaan adalah berdasarkan kronologi siasatan yang dilakukan pihak polis.

Kata beliau, sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan dan terpulang kepada tafsiran seseorang individu itu.

“Tengok semula kronologi siasatan kes beliau (Sanusi). Beliau keluarkan kenyataan pada 11 Julai, kemudian laporan polis diterima 12 Julai.

“Susulan daripada itu, ada lagi laporan dibuat pada 14 Julai oleh Majlis Diraja Selangor dan disebabkan itu kita buat tangkapan pada 18 Julai untuk pertuduhan di mahkamah.

“Jadi tidak timbul isu pihak polis jalankan siasatan enam bulan sebelum itu dan ada konspirasi,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Bendera Sempena Kejohanan World Police & Fire Games Winnipeg 2023 di Bukit Aman di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ayob Khan menegaskan, amaran telah berulang kali diberikan oleh polis agar tidak mengeluarkan kenyataan yang menyentuh agama, raja dan kaum (3R).

Kata beliau, penahanan yang dilakukan terhadap Sanusi itu adalah susulan kenyataan menghina institusi diraja yang dibuatnya.

“Sempena bulan kemerdekaan tidak lama lagi, saya menyeru rakyat khususnya orang politik agar melibat semula rukun negara ini.

“Jelas dalam rukun negara menyatakan kepercayaan kepada tuhan dan kesetiaan kepada raja dan negara.

“Kalau ada lagi mana mana-mana individu yang masih lagi cenderung untuk hina institusi diraja sudah pasti tindakan tegas akan diambil,” jelasnya.

Tambah beliau, apabila tindakan tegas diambil oleh polis terhadap perbuatan itu jangan buat spekulasi.

“Hati-hati, kita akan ambil tindakan tidak mengira latar belakang,” katanya.

Terdahulu, Sanusi ketika berucap pada Ceramah Gelombang Perikatan Nasional (PN) di Padang Awam Kuala Ketil di sini, malam kelmarin mendedahkan terdapat rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya dirancang sejak enam bulan lalu.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ini berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada rakan yang memberi amaran bahawa tindakan akan diambil susulan kritikan terbuka kepada pihak tertentu.

Sementara itu, Ayob berkata, polis masih menunggu arahan Jabatan Peguam Negara berhubung kertas siasatan membabitkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, kertas siasatan membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan telah dihantar kepada Peguam Negara pada 17 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN