PETALING JAYA: Angkatan Muda PKR (AMK) membidas Pemuda Pas yang memainkan isu kononnya Kerajaan Perpaduan adalah punca kepada peningkatan bil elektrik seperti dialami rakyat ketika ini.
Timbalan Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd. Fauzi Fadzil berkata, peningkatan bil elektrik dialami rakyat ketika ini disebabkan oleh dua faktor iaitu kos bahan api dan arang batu serta tingkah laku pengguna kesan daripada fenomena El Nino dihadapi negara ketika ini.
Jelasnya, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menggunakan bahan api dan arang batu sebagai sumber utama untuk menjana elektrik di Malaysia.
“Namun, peperangan Ukraine-Rusia dan kejatuhan nilai ringgit diperingkat global menyebabkan kos penjanaan elektrik bertambah dalam bentuk Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).
“Kos ICPT walaupun telah diserap sebahagiannya oleh pihak kerajaan melalui pemberian rebat bil elektrik kepada pengguna yang layak, tetap tidak dapat menampung sepenuhnya jumlah kenaikan bil elektrik. Akibatnya, lebihan kenaikan kos ICPT terpaksa ditanggung oleh pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas berhubung isu tingkah laku pengguna, beliau berkata, pengguna sendiri yang terdorong menggunakan barangan elektrik seperti alat penghawa dingin dan kipas elektrik secara kerap kesan daripada fenomena El Nino.
Menurutnya, suhu di Malaysia boleh mencecah sehingga 40 darjah celsius akibat fenomena El Nino.
“Keadaan ini sudah tentu memaksa penggunaan barangan elektrik untuk menyejukkan badan lebih dari kebiasaan. Rakyat Malaysia juga mula dibiasakan dengan budaya bekerja dari rumah selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Keadaan ini juga membantu meningkatkan bil elektrik pengguna di kawasan bandar terutamanya,” katanya.
Jelas beliau lagi, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyatakan bahawa kenaikan bil elektrik dalam kalangan 9.5 juta pengguna domestik di Malaysia bukan disebabkan oleh penggunaan Smart Meter yang diperkenalkan oleh TNB, namun beberapa isu diperingkat global dan domestik telah menjadi punca kepada isu tersebut.
“Namun, fakta yang dibentangkan tidak diendahkan oleh Exco Lajnah Isu Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dewan Pemuda PAS Gombak, Mohd Iqman Iberahim dengan menyangkal kenyataan dan fakta yang dipertahankan oleh TNB.
“Kenaikan bil elektrik dalam kalangan pengguna domestik di Malaysia tidak boleh dikaitkan dengan penggunaan Smart Meter. TNB melalui penegasan Akta Bekalan Elektrik 1990 terpaksa menukar meter baru untuk setiap pengguna domestik di Malaysia dalam tempoh 15 tahun.
“Smart Meter adalah alat pengukur penggunaan elektrik yang paling tepat dan canggih berbanding alat pengukur sebelumnya (Meter Digital dan Meter Analog),” katanya.-UTUSAN










