Aminuddin enggan campur tangan pertikaian kerusi DUN Lenggeng - Utusan Malaysia

Aminuddin enggan campur tangan pertikaian kerusi DUN Lenggeng

AMINUDDIN Harun (kiri) diberikan penerangan mengenai reka bentuk masjid pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Baharu Taman Bukit Kepayang di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat keputusan muktamad mengenai parti manakah yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan. 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sehubungan itu berkata, beliau kekal dengan pendiriannya sebelum ini supaya semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menunggu Anwar mengumumkan parti yang diberi tanggung jawab bertanding untuk semua DUN dalam PRN kali ini.

Katanya, beliau enggan terbabit dalam konflik yang berlaku antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini untuk kerusi tersebut.

“Saya sudah katakan sebelum ini supaya tunggu Presiden (PH, Anwar),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Baharu Taman Bukit Kepayang di sini hari ini.

Menjelang hari penamaan calon bagi PRN pada hujung bulan ini, kerusi DUN Lenggeng kini menjadi perebutan antara Amanah yang mewakili PH dan BN.

Dalam sidang akhbar semalam, Amanah Negeri Sembilan tetap dengan pendirian mahukan kerusi DUN Lenggeng kekal ditandingi calon dari parti itu.

Pengerusinya, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berkata, keputusan itu selari dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah pada 13 Julai lalu yang mengumumkan kerusi DUN Lenggeng yang telah dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kekal ditandingi parti itu selain dua DUN lain iaitu Paroi dan Klawang.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa parti itu akan bertanding di 16 kerusi DUN yang dimenanginya di Negeri Sembilan pada PRU14 serta satu kerusi tambahan iaitu DUN Lenggeng.

Untuk rekod, kerusi DUN Lenggeng telah dimenangi oleh PH melalui calon dari Amanah, Suhaimi Kassim dalam PRU14.

Suhaimi pada ketika itu menang dengan majoriti 986 undi menewaskan dua calon lain termasuk calon BN, Mazalan Ma’arop yang kini merupakan Ketua UMNO Bahagian Seremban.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN