Amanah tidak akan lepas kerusi Pulai, Simpang Jeram - Utusan Malaysia

Amanah tidak akan lepas kerusi Pulai, Simpang Jeram

Dzulkefly Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan menyerahkan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kepada parti komponen lain dalam kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan nanti.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad menegaskan, keputusan itu dibuat kerana kedua-dua kerusi berkenaan adalah milik Amanah.

“Parlimen Pulai merupakan satu antara dua kerusi yang dimenangi Amanah semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, satu lagi adalah kerusi Parlimen Sri Gading yang dimenangi Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan. Bagi kerusi Simpang Jeram pula, ia merupakan satu-satunya kerusi DUN yang dimenangi Amanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.

“Jika kami memberikan laluan kepada pihak lain dalam PRK dua kerusi itu nanti, bermakna Amanah Johor akan kurang wakil sama ada di peringkat Parlimen dan langsung tiada wakil di peringkat DUN. Itu kita tidak mahu berlaku,” katanya ditemui pemberita, di sini hari ini.

Dzulkefly memberitahu, Amanah Johor akan mengadakan mesyuarat tentang perkara tersebut dalam masa terdekat atau selepas PRN di enam negeri, 12 Ogos ini.

“Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengeluarkan arahan yang mahukan parti memberi tumpuan kepada PRN terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berhubung PRK Pulai dan Simpang Jeram.

“Walau bagaimana, Amanah Johor akan meminta sekurang-kurangnya dua nama daripada kepimpinan bahagian terlibat, iaitu Pulai dan Bakri. Ini kerana DUN Simpang Jeram berada di bawah Bahagian Bakri.

“Setelah mendapat senarai nama tersebut, ia akan dilakukan ke peringkat tertinggi parti sebelum keputusan siapa calon terbaik dibuat bagi meneruskan kesinambungan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub,” katanya sambil memaklumkan Amanah yakin dapat mengekalkan kedua-dua kerusi berkenaan pada PRK nanti.

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong berikutan kematian Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu selepas menjalani pembedahan ekoran pendarahan otak di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Pada PRU-15 lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 33,174 undi, manakala pada PRN Johor, beliau turut berjaya mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 2,399 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya