Allahyarham jadi teladan pemimpin lain

Allahyarham jadi teladan pemimpin lain

BALU Allahyarham Salahuddin Ayub, Datin Seri Fatimah Taha menyiram air mawar ke atas pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam, Serkat, Pontian, Johor, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sifat terpuji Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang sentiasa konsis­ten dalam perjuangan membela kebajikan rakyat akan menjadi teladan kepada pemimpin lain khususnya dalam kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Ahli Parlimen Pulai itu tidak pernah berhenti daripada mencari kaedah terbaik dalam me­ngurangkan beban rakyat terutamanya melibatkan kos sara hidup.

Katanya, pemergian Salahuddin merupakan kehilangan besar buat negara.

“Saya datang dengan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) mewakili keluarga dan kerajaan untuk ucapkan takziah atas pemergian seorang sahabat, pejuang yang telah bersama puluhan tahun.

“Satu kehilangan besar buat negara kerana Allahyarham sinonim dengan rahmah, itu sifat dia yang konsisten dalam tugas. Beliau tak pernah terlepas cari jalan dan kaedah untuk ringankan beban rakyat.

“Saya harap semangat dan dedikasi beliau menjadi te­ladan, terutamanya sifat penyayang dan rahmah yang telah beliau tonjolkan sehingga akhir hayat,” katanya ditemui selepas mengimamkan solat jenazah Allahyarham Salahuddin di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberitahu, pengganti jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu inisiatif Payung Rahmah yang dimulakan Allahyarham dite­ruskan oleh penggantinya.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu penting kerana rakyat, khususnya golongan B40 dan miskin tegar masih memerlukan pembelaan dalam aspek kos sara hidup.

“Allahyarham seorang yang sangat baik, rajin bekerja tidak mengira masa dan tidak kira di mana sahaja. Dalam Kabinet, beliau sangat bekerja keras dan teliti terutamanya apabila menjalankan pelbagai program di bawah inisiatif Payung Rahmah.

“Oleh itu, inisiatif ini perlu ada kesinambungannya oleh sesiapa sahaja yang akan dilantik menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Rakyat pasti akan teringat sumbangan dan jasa diberikan beliau, lebih lagi menerusi inisiatif ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang individu yang kuat bekerja dan sentiasa memikirkan rakyat.

“Kali terakhir jumpa Allahyarham adalah dalam sesi Kabinet minggu lepas. Beliau bawa agenda untuk meringankan beban kos sara hidup. Setiap minggu beliau beri laporan kepada Kabinet, seorang yang bekerja keras, amat berdedikasi dan kita kehilangan seorang pemimpin, rakan yang berjiwa besar.

“Bukan senang jaga kementerian itu apatah lagi pada masa sekarang, banyak orang berkata macam-macam, pelbagai tekanan beliau hadapi. Pada akhirnya kita semua manusia bukannya robot,” jelasnya.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar bagi rakyat Johor, khususnya penduduk di kawasan diwakilinya di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Dalam pada itu, Timbalan Salahuddin, Senator Fuziah Salleh memberi jaminan, pihaknya komited untuk meneruskan kesinambungan legasi Payung Rahmah yang dimulakan Allahyarham dalam membantu rakyat pasca pandemik Covid-19.

“Beliau adalah pencetus dan perintis bagi inisiatif ini dan hari ini perkataan rahmah menjadi antara sebutan dalam pelbagai program kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN