KUALA LUMPUR: Tiga pertubuhan bukan kerajaan memfailkan saman terhadap Menteri Kesihatan dan Kerajaan Malaysia berhubung keputusan mengeluarkan cecair nikotin daripada senarai Akta Racun 1952.
Plaintif-plaintif, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM); Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of Children (VOC) memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Kanesalingam & Co. pada 28 Jun lalu di Mahkamah Tinggi di sini.
Mereka menamakan Menteri Kesihatan (tidak dinamakan secara spesifik) dan kerajaan selaku defendan pertama dan kedua.
Menurut penyata tuntutan, pada 31 Mac lalu, Menteri Kesihatan (pada ketika ini, jawatan tersebut dipegang oleh Dr. Zaliha Mustafa) membuat keputusan untuk meminda senarai di bawah Akta Racun 1952 yang mengeluarkan nikotin daripada senarai tersebut.
Cecair nikotin sebelum ini disenaraikan dalam Akta Racun 1952 ekoran ia bukan produk hasil tembakau yang tertakluk di bahawa Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Mengikut Seksyen 17 Akta Racun, bahan yang berada dalam senarai akta tersebut tidak boleh dijual kepada mereka di bawah umur 18 tahun dan tindakan menjual atau membekalkan racun kepada orang belum dewasa kecuali untuk tujuan rawatan perubatan orang tersebut melakukan satu kesalahan di bawah Akta Racun.
Ekoran pindaan tersebut, rokok elektronik (vape) dan cecair nikotin boleh dijual secara terbuka kepada sesiapa sahaja tidak mengira peringkat umur.
Menurut laporan media sebelum ini, Dr. Zalina menyatakan pengecualian cecair nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952 membolehkan kerajaan mengenakan cukai sebanyak 40 sen setiap mililiter (ml).
Plaintif-plaintif mendakwa Menteri Kesihatan bertindak secara salah, tidak rasional dan tidak mengikut prosedur.
Plaintif mendakwa sebagai Menteri Kesihatan, defendan pertama itu gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaga kesihatan awam sebaliknya tindakan mengecualikan nikotin daripada Akta Racun 1952 memudaratkan kesihatan awam secara khususnya terhadap kanak-kanak yang merupakan kalangan yang paling terdedah dalam masyarakat.
Selain itu, plaintif mendakwa Menteri bertindak tanpa mengambil kira pandangan Lembaga Racun dan tidak menyatakan alasan munasabah untuk bertindak bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh lembaga berkenaan.
“Alasan pengecualian bagi membolehkan duti kastam dikenakan terhadap bahan beracun bukan alasan yang dibenarkan atau rasional. Menteri (defendan pertama) bertindak atas kehendak Kementerian Kewangan dan bertindak bertentangan dengan undang-undang (ultra vires) Akta Racun.
“Menteri juga gagal mengaplikasi dan melaksanakan pertimbangan tersendirinya seperti mana yang diharapkan daripada seorang Menteri Kesihatan munasabah yang bertanggungjawab terhadap kesihatan, hak-hak dan langkah keselamatan,” kata plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.
Sehubungan itu, plaintif-plaintif memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan pengecualian tersebut. -UTUSAN










