JOHOR BAHRU: Permainan catur menjadi platform buat kanak-kanak autism, Ainul Mardhiah Mohd. Afif membantu menyesuaikan diri dengan situasi yang sebenarnya ‘normal’ buat individu biasa.
Sebelum mula bermain catur sejak dua tahun lalu, Ainul Mardhiah yang berusia 13 tahun itu sering berasa cemas dan sukar menyelesaikan tugasan harian seperti kebanyakan kanak-kanak seusianya.
Bapanya, Mohd. Afif Md. Nasir, 40, memberitahu, dia memperkenalkan permainan catur kepada anak perempuannya sebagai aktiviti masa lapang ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksana akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, itu adalah permulaan buat Ainul Mardhiah terlibat dengan permainan catur sehingga mempunyai keyakinan diri untuk menyertai kejohanan seperti individu lain.
“Saya dan isteri amat gembira apabila dia menunjukkan minat dalam catur, bermula daripada itu kami daftarkan dia ke dalam pertandingan catur atas talian, sebenarnya hanya untuk suka-suka.
“Tanpa dijangka, dia muncul juara peringkat sekolah, sebelum turut mencipta kejayaan dalam pertandingan catur di peringkat daerah dan juga negeri.
“Menyedari bakatnya, kami putuskan untuk beri sokongan secara serius dengan mendaftarkannya dalam akademi catur atas talian,” katanya ketika ditemui di Sekolah Antarabangsa Fairview, di sini.
Tambah Mohd. Afif, anaknya itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datin Onn Jaafar di Batu Pahat dengan mengikuti program pendidikan khas di sekolah tersebut.
“Setiap hari, dia akan berlatih catur selama lebih kurang empat jam. Usahanya berbaloi apabila dia mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Catur Antarabangsa Johor.
“Walaupun bertemu dengan peserta yang lebih berusia dan berpengalaman, dia berjaya mengekalkan ketenangan dengan memperoleh empat kemenangan dan dua seri dalam sembilan perlawanan,” ujarnya.
Tambah Mohd. Afif, dia amat berbangga dengan kejayaan anaknya itu kerana sebelum pertandingan bermula, tangan Ainul Mardhiah boleh dilihat menggeletar.
“Sebagai seorang individu autistik, kelebihan dia adalah untuk mengenal corak pergerakan dan saya rasa latihan yang dibuat melalui kelas atas talian dan bermain bersama empat lagi adik beradiknya turut membantu.
“Kesemua lima anak-anak saya autism, jadi apabila mereka mula menunjukkan minat dalam permainan catur dimana aktiviti harian mereka juga berubah secara positif, saya amat bersyukur dan terharu,” jelasnya.
Mohd. Afif turut memberitahu, Ainul Mardhiah kini berhasrat untuk mewakili Johor di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), dengan harapan mampu mewakili negara suatu hari kelak.-UTUSAN