Agong, Permaisuri hargai jasa Salahuddin

Agong, Permaisuri hargai jasa Salahuddin

ALLAHYARHAM SALAHUDDIN AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menghargai jasa dan khidmat Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada negara.

Allahyarham berkhidmat selaku Ahli Parlimen Pulai sejak 2018, sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020 dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sejak Disember tahun lalu.

Salahuddin juga berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram apabila berjaya mempertahan kerusinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lalu, kerusi yang disandangnya sejak 2018.

“Seri Paduka berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara,” me­nurut kenyataan Istana Negara.

Justeru, baginda berdua menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham yang telah kembali ke rahmatullah pada usia 61 tahun, semalam.

“Seri Paduka berdua rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Allahyarham memulakan karier politiknya bersama Pas di Pontian, Johor dari 1983 sehingga 2015, menyaksikan beliau memegang jawatan penting seperti Ketua Pemuda Pas pada 2003 dan kemudian dilantik sebagai Naib Presiden Pas pada 2009.

Sepanjang bersama Pas, be­liau membantu partinya memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian pada 2004 dan 2008.

Beliau kemudian menjadi antara individu yang menga­saskan Parti Amanah yang menyumbang kepada pembentukan Pakatan Harapan (PH) pada 2015 dan dilantik sebagai Timbalan Presiden, jawatan yang disandangnya sehingga akhir hayatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN