KUALA LUMPUR: Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 yang diluluskan Parlimen akan berkuat kuasa bulan depan.
Ini bermakna, Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa menyemak semula rayuan hukuman mati terhadap lebih 800 orang banduan.
Akta itu memperuntukkan semua permohonan hendaklah dibuat secara bertulis kepada Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 90 hari dari tarikh undang-undang itu berkuat kuasa dan permohonan hanya boleh dilakukan sekali sahaja.
Akta Hukuman Mati Mandatori 2023 telah berkuat kuasa 4 Julai lalu, memberi kuasa budi bicara kepada hakim menjatuhi hukuman dan membenarkan hakim membuat pilihan mengenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun menggantikan hukuman mati mandatori.
Memberitahu Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semakan semula undang-undang berkaitan hukuman mati tidak berkuat kuasa bersekali dengan pemansuhan hukuman mati mandatori kerana ia melibatkan banyak proses.
“Kerajaan mesti memastikan proses dan mekanisme (penguatkuasaan undang-undang semakan semula hukuman) itu ada sebelum undang-undangnya berkuat kuasa.
“Hal ini kerana undang-undang memberikan banduan 90 hari untuk memfailkan semakan semula dengan Mahkamah Persekutuan. Proses ini melibatkan penugasan penasihat undang-undang dan kerajaan bertanggungjawab ke atasnya.
“Bagaimanapun, undang-undang ini akan berkuat kuasa pada Ogos tahun ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, jurucakap badan bukan kerajaan, Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (MADPET), Charles Hector Fernandez, menggesa kerajaan menguatkuasakan semakan semula undang-undang berkaitan hukuman mati.
Gesaan itu bertujuan supaya kira-kira 850 banduan hukuman mati boleh mendapatkan semakan semula hukuman terhadap mereka.
Katanya, 850 daripada 1,324 banduan yang dihukum mati yang telah menamatkan semua rayuan, akan layak untuk semakan semula hukuman. – UTUSAN










