Boleh rotan, tapi jangan hingga cederakan - Utusan Malaysia

Boleh rotan, tapi jangan hingga cederakan

A. SARASWATHY menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas guru besar yang didakwa merotan anaknya sehingga cedera di Jementah, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Ibu kepada murid tahun lima bersetuju dengan tindakan seorang guru besar merotan anaknya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah tetapi jangan sehingga mencederakan.

Menurut A. Saraswathy, 41, pendekatan merotan murid atau pelajar yang culas hadir dan bermasalah perlu demi kepentingan untuk mendidik tetapi bukan sehingga mencederakan mereka.

“Ketika saya sekolah dulu, guru dibenarkan merotan, tetapi merotan yang tidak mencederakan. Ketika itu tidak jadi kesalahan pun (guru rotan murid). Tetapi bezanya sekarang ini ada segelintir guru yang merotan sehingga tahap keterlaluan seolah-olah melepaskan geram.

“Dalam situasi yang tertentu, kita kena balik pada yang asas, tidak salah rotan untuk mendidik tetapi bukan mencederakan dan mendatangkan trauma seperti yang berlaku kepada anak saya,” katanya ketika ditemui di Bandar Jementah, di sini.

Ibu tunggal itu turut sempat berkongsi nostalgia dirotan guru ketika zaman persekolahan dan menghargainya kerana tindakan itu berjaya membentuknya menjadi manusia berguna.

Saraswathy mengakui dia juga pernah dirotan mendiang bapanya, Arumugam Letchumanan sewaktu kecil.

“Sikap ibu bapa yang tidak membenarkan anak dirotan walaupun melakukan kesalahan sehingga ada yang membenci guru boleh meruntuhkan hubungan keluarga dan pihak sekolah. Mendiang bapa saya dahulu sangat memihak kepada guru dan menyokong sekiranya ada guru yang merotan anaknya kerana ia dilakukan demi kebaikan.

“Memang bapa saya suruh cikgu rotan kalau perlu. Dia akan marah kepada anak-anak kalau berlaku krisis antara guru dan kami. Dia akan berpihak kepada guru,” katanya yang bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan swasta.

Saraswathy hingga kini kekal  mesra bertegur sapa dengan bekas gurunya jika bertemu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah memaklumkan, seorang murid lelaki di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di sini cedera dibadan dan muka selepas dirotan guru besar kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN