GUA MUSANG: Masalah kemudahan pengangkutan menyebabkan kira-kira 30 peratus pengundi Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Ketua UMNO Gua Musang, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, beliau berharap agensi terlibat dapat membantu masyarakat Orang Asli yang layak mengundi keluar untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Katanya, melihat kepada statistik keluar mengundi waktu PRU15 baru-baru ini menunjukkan hanya sekitar 70 peratus sahaja dalam kalangan Orang Asli keluar mengundi.
“Pada PRN kali ini saya begitu berharap semua masyarakat Orang Asli boleh keluar mengundi dengan dibantu oleh agensi-agensi yang terlibat untuk membawa keluar seramai mungkin pengundi dari kawasan pedalaman terutama kampung-kampung yang jauh,” katanya ketika ditemui di Pos Blau, di sini semalam.
Mohd. Syahbuddin berkata, terdapat lebih 10,000 pengundi Orang Asli yang membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Galas, Nenggiri dan Paloh.
Katanya, berdasarkan jumlah itu kira-kira 8,000 pengundi adalah daripada DUN Galas, manakala bagi DUN Nenggiri dan Paloh lebih 2,000 pengundi.
“Saya mendapat maklum bahawa antara punca Orang Asli tidak keluar mengundi kerana kedudukan jalan di kawasan pedalaman yang rosak serta jambatan runtuh.
“Oleh itu, saya berharap agensi yang terlibat dapat membawa pengundi keluar lebih awal supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab mengundi pada hari mengundi,” katanya.
Tambah Mohd. Syahbuddin, persiapan menghadapi PRN juga sudah bermula sejak sebulan lalu.
“Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sudah mengarahkan supaya menggunakan jentera yang betul-betul berada di akar umbi iaitu jentera cawangan.
“PRN kali ini seolah-olah misi menebus maruah kekalahan BN pada PRU lepas dan kita akan tebus dengan kemenangan yang besar bagi tiga DUN yang terlibat di dalam Parlimen Gua Musang ini,” katanya.-UTUSAN