PETALING JAYA: Satu kegiatan sindiket pemalsuan dokumen yang beroperasi dari sebuah kediaman mewah di ibu negara dibongkar selepas enam lelaki warga Bangladesh ditahan dalam operasi khas semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pada pukul 12.35 tengah hari itu dijalankan sekitar Jalan Chemur dan Jalan Ipoh susulan risikan selama dua minggu.
Katanya, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 23 hingga 45 tahun.
“Semakan awal mendapati empat warga asing tersebut termasuk dalang utama telah tinggal lebih masa.
“Dua orang lagi tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan operasi juga telah menyita 73 pasport pelbagai negara yang disyaki palsu terdiri daripada pasport Myanmar, India, Pakistan, Nepal, Indonesia dan Bangladesh.
Zakaria berkata, modus operandi sindiket adalah menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen dengan menggunakan pasport palsu yang telah diubah suai.
“Sindiket menyasarkan warga asing yang tidak sihat atau tidak layak untuk proses saringan kesihatan.
“Gambar ahli sindiket digunakan pada pasport palsu manakala maklumat peribadi serta nombor pasport pelanggan dimasukkan bagi mengaburi pihak klinik,” ujarnya.
Menurutnya, setiap pelanggan dikenakan bayaran antara RM100 hingga RM250 untuk pasport palsu dan proses saringan kesihatan.
Katanya, sindiket ini dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan ini merupakan tangkapan keempat melibatkan modus operandi sama tahun ini.
“Empat suspek ditahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua lagi disiasat mengikut Seksyen 6(3) akta sama. Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN







