Lelaki warga Bangladesh dalang aktiviti pemalsuan dokumen ditahan

Lelaki warga Bangladesh dalang aktiviti pemalsuan dokumen ditahan

DATUK RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan satu sindiket pemalsuan dokumen terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang menjadi dalang aktiviti itu di Chow Kit dekat sini semalam.

Penahanan lelaki berusia 24 tahun itu dilakukan dalam operasi khas bermula pukul 8.30 pagi melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di hadapan sebuah hotel. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu.

Kata beliau, hasil soal siasat, suspek dipercayai telah menjadikan sebuah bilik di hotel berkenaan sebagai markas aktivitinya. 

“Semakan awal mendapati, suspek memiliki Pas Pelajar yang masih sah laku bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen.

“Hasil serbuan itu, kita telah merampas 43 keping kulit pasport Bangladesh diikuti 37 naskhah pasport Bangladesh disyaki palsu selain kulit pasport India (29 keping); kulit pasport Indonesia (18 keping) ; kulit pasport Nepal (tujuh keping) dan kulit pasport Filipina (lima keping),” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, kata beliau, turut dirampas iaitu sembilan helai dokumen e-visa elektronik diikuti enam pasport Indonesia disyaki palsu selain masing-masing sebuah komputer riba dan mesin pencetak.

“Selain itu, kita turut merampas dokumen Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) disyaki palsu, kertas yang bercetak muka surat pasport Bangladesh dan pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu,” jelasnya.

Tambah beliau, modus operandi sindiket adalah bergerak secara individu dengan menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport palsu kepada warganegara asing dari Bangladesh, Nepal, India dan Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan. 

Kata Ruslin, sindiket ini menggunakan pasport tersebut untuk mendapatkan dokumen Fomema. 

“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan dengan mengenakan bayaran sebanyak RM100 hingga RM150 untuk setiap pasport.

“Suspek dipercayai telah menghasilkan sebanyak 50 hingga 100 naskah pasport sehari,” jelasnya.

Ruslin berkata, suspek akan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. 

Tambah beliau, seorang lelaki warganegara tempatan diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN