14 laporan mengenai penipuan eBelia Rahmah diterima polis

14 laporan mengenai penipuan eBelia Rahmah diterima polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 14 aduan berkaitan kes penipuan perkhidmatan wang bantuan eBelia Rahmah yang membabitkan kerugian sebanyak RM2,800, setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu menawarkan perkhidmatan kepada penerima e-Belia Rahmah untuk mengeluarkan wang dari akaun Touch n’ Go ke akaun peribadi mangsa.

“Mangsa melihat tawaran perkhidmatan pengeluaran wang tunai e-Belia Rahmah di aplikasi seperti TikTok dan Facebook Messenger di mana suspek menawarkan pekhidmatan untuk memindahkan wang dari akaun e-dompet Touch n’ Go kepada akaun bank mangsa.

“Suspek meminta butiran mangsa seperti nama dan nombor akaun, suspek kemudian meminta mangsa untuk membuat imbasan (scan) pada kod QR yang diberikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, setiap mangsa yang menghadapi kerugian sebanyak RM200 itu mendapati tiada kemasukan wang yang dipindahkan daripada e-dompet milik mereka selepas mengikut arahan suspek.

“Mangsa yang mendapati tiada wang masuk ke dalam akaun mereka cuba menghubungi suspek tetapi gagal,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institut pe­ngajian tinggi (IPT) akan menerima kredit RM200 menerusi program eBelia Rahmah bermula 26 Jun lalu dengan membabitkan kira-kira dua juta penerima.

Walau bagaimanapun, antara terma dan syarat ditetapkan adalah wang bantuan RM200 itu tidak boleh ditunaikan atau dipindahkan kepada akaun lain, sekiranya mendapati penerima melanggar syarat tersebut akan dikenakan tindakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN