YouTube ‘cikgu’ pelajar SMJK Yu Hua - Utusan Malaysia

YouTube ‘cikgu’ pelajar SMJK Yu Hua

Lim Sweet Ann bersama ibunya selepas memperoleh keputusan cemerlang SPM 2022 di SMJK Yu Hua, Kajang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Memanfaat YouTube untuk mengulang kaji pelajaran membuahkan hasil buat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua, Kajang sehingga memperoleh 11 A.

Lim Sweet Ann yang mendapat 10A+ dan 1A berkata, dia sememangnya menetapkan sasaran untuk mencapai semua A dalam SPM.

“Ulang kaji sendiri dan rujuk kepada aplikasi digital seperti YouTube banyak membantu saya mencapai kejayaan.

“Kita perlu manfaatkan aplikasi dalam talian kerana aplikasi tersebut seperti ‘cikgu’ kerana banyak perkara boleh memahamkan kita,” kata anak kepada seorang pengurus syarikat ketika ditemui di sekolahnya dekat sini semalam.

Sweet Ann berkata, tiga mata pelajaran yang dianggap susah tetapi tidak sangka mampu mencapai keputusan cemerlang iaitu Bahasa Cina, Biologi dan Kimia.

“Tiga subjek yang saya rasa susah dan tidak meletakkan harapan tinggi tetapi keputusan menggembirakan kerana mencapai lebih daripada apa yang saya jangka.

“Saya menggunakan waktu malam selepas makan untuk mengulang kaji, bagi subjek teori saya akan hanya gunakan buku teks untuk faham dan ingat teori itu sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, rakan sekolah­nya, Nadira Norzalahuddin yang memperoleh 9A iaitu 7A+ dan 2A berkata, dia tidak menjangkakan keputusan tersebut.

Nadira Norzalahuddin yang memperoleh 9A iaitu 7A+ dan 2A dalam SPM 2022.

“Saya tidak pergi ke tuisyen, tetapi, cara saya adalah selepas pulang sekolah, rehat dan saya akan terus mengulang kaji.

“Jika rasa terlalu tertekan saya akan ambil sedikit masa untuk lebih tenang dengan membuat sesuatu seperti menonton filem Korea,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Kata Nadira, sebagai seorang pelajar Melayu di sekolah jenis kebangsaan, cabaran besar untuknya adalah perlu belajar bahasa Cina.

“Ibu bapa saya juga sering berpesan untuk jangan terlalu tertekan hingga menganggu kesihatan, yang penting adalah sentiasa lakukan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×