Wujudkan blueprint jika UMNO ingin kekal relevan -Mohamad

Wujudkan blueprint jika UMNO ingin kekal relevan -Mohamad

GELAGAT sebahagian perwakilan dari bahagian atau negeri Terengganu yang tiba di perkarangan Dewan Merdeka semasa tinjauan hari pertama di Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah blueprint atau pelan tindakan perlu diwujudkan jika UMNO ingin meneruskan kelangsungan untuk tahun mendatang.

Ini kerana menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, UMNO masih belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu.

“Empat tahun terbiar begitu sahaja, setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanah air. Kita seolah hilang fokus, kepada segala kesusutan dan kesengsaraan yang dilalui bangsa Melayu. Kita juga gagal, menampilkan solusi yang bernas untuk mereka.

“Wang simpanan persaraan Bumiputera juga, semakin susut saban tahun. Kesempitan hidup pasca pandemik, memaksa mereka mengeluarkan wang persaraan secara besar-besaran, sehingga hampir 5.1 juta atau 76 peratus pencarum KWSP Bumiputera, kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Lebih membimbangkan lebih dua juta atau 81 peratus pencarum KWSP Bumiputera berumur 55 tahun ke bawah, mempunyai simpanan amat kritikal iaitu kurang daripada RM1,000. Maksudnya, ramai yang tidak akan dapat bersara, kerana terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan di usia tua,” katanya dalam Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.

Malah jelas Mohamad lagi, bangsa Melayu daripada segi ekonomi, pendidikan dan sosial, masih lagi dikatakan tidak menunjukkan kemajuan yang ketara.

“Jadi, apa sebenarnya rencana UMNO ini untuk orang Melayu? Ini adalah ujian sebenar peranan dan relevannya UMNO sebagai parti bangsa Melayu. Bagaimana kita akan menampilkan solusi ekonomi, sosial dan budaya untuk mengatasi segala kemaslahatan ini?

“Apakah strategi kita untuk membasmi kemiskinan bandar, meningkatkan pemilikan bank, universiti, hospital, kilang dan syarikat bertaraf unicorn untuk bangsa Melayu? Cara apa yang akan kita gunakan untuk menambah bilangan saintis, bilangan coders dan programmers, bilangan jururawat dengan kepakaran unik, jurutera, peguam dan pelbagai professional lain?

“Strategi apa yang bakal dibuat untuk memartabatkan Bahasa Melayu? Menjadikan segalanya tentang dunia Melayu itu, kita pelihara, majukan dan tampilkan secara global. UMNO mesti ada jawapan untuk semua ini. Dan jawapan UMNO tidak boleh ‘piecemeal’. Juga secara ad hoc,” tegasnya.

Berikutan itu, katanya lagi blueprint tersebut perlu diwujudkan dengan merangkumi keseluruhan aspek serta kalis masa.

“Jika UMNO tidak menyediakan blueprint sebegini, maka bagaimana kita akan merencana program yang sistematik untuk kemajuan bangsa Melayu. Seruan saya adalah untuk UMNO memulakan langkah berani dan tegas. 

“Merangka blueprint baru dengan membawa agenda Melayu yang moden dan maju, untuk meyakinkan bangsa Melayu, bahawa kita ada rencana yang jelas untuk bangsa.

“Dengan blueprint sedemikian, kita dapat membuktikan bahawa, kita sedar akan masalah yang melingkari bangsa Melayu, dan kita ada strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad menyandarkan masa depan parti ini kepada generasi muda dan generasi penerus dengan lebih serius dan terancang sebagai strategi untuk perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri dalam mendepani masa depan UMNO.

Jelasnya, generasi muda UMNO bukan sekadar penumpang atau pemerhati, sebaliknya adalah asbab kenapa parti itu wujud dan berkelangsungan.

“Dan jangan pula berperanan untuk parti, hanya sekadar menyuarakan keluhan anda di media sosial, tapi tidak tampil memberikan kepimpinan. Adalah membimbangkan, bila desakan kalian hanyalah untuk mendapatkan ‘kuota khas orang muda’ atau dewan khas untuk orang muda, atau senator untuk orang muda,” tegasnya. -UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya