SEGAMAT: Seorang wanita maut apabila dihempap bumbung sebuah sekolah yang diterbangkan ribut di Kampung Tahang Rimau, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 7.41 malam itu, mangsa, V. Mahadevi, 55, meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, insiden malang itu berlaku semasa kejadian ribut yang turut menerbangkan bumbung Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa laku menimpa kediaman mangsa yang terletak berhampiran.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II, Ab. Rahim Rahmat berkata, pihaknya dengan kekuatan lima anggota dan dua jentera sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku bumbung sekolah runtuh diterbangkan oleh angin dan menghempap sebuah rumah bersebelahan sekolah.
“Terdapat seorang mangsa wanita dewasa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan PKO. Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ab. Rahim berkata, mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes diklasifikasikan mati mengejut.
Dalam pada itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Segamat ketika dihubungi berkata, ribut petang semalam turut menjejaskan struktur bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat.
Katanya, kawasan paling terjejas adalah di Mukim Sungai Segamat, membabitkan 20 keluarga dari Kampung Tahang Rimau, Kampung Jawa dan Kampung Tengah.
Menurutnya, kira-kira 15 kediaman turut terjejas di Mukim Gemereh dan Mukim Pogoh dan beberapa gerai peniaga turut rosak. – UTUSAN










