PETALING JAYA: Dua jenis vaksin Covid-19 buatan Malaysia yang sedang dibangunkan dijangka berada di pasaran menjelang tahun 2030.
Kedua-duanya kini di peringkat fasa pertama ujian praklinikal ke atas haiwan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pada masa ini Malaysia sedang membangunkan dua vaksin Covid-19 di peringkat penemuan vaksin.
“Terdapat dua jenis vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan iaitu vaksin berasaskan platform virus ternyahaktif dan vaksin yang berasaskan platform Messenger Asid Ribonukleik (mRNA).
“Kajian melibatkan calon vaksin Covid-19 yang berasaskan platform virus ternyahaktif ia masih pada peringkat kajian praklinikal ke atas haiwan. Jangkaan kajian ini diselesaikan pada Disember tahun ini.
“Dari segi penghasilan calon vaksin Covid-19 berasaskan platform mRNA, ia memerlukan proses penambahbaikan untuk memastikan calon vaksin tersebut dapat menjana protein yang secukupnya supaya analisis peringkat kajian pra-klinikal ke atas haiwan dapat diteruskan.
“Dijangkakan calon vaksin Covid-19 mRNA akan menjalani kajian praklinikal ke atas haiwan pada tahun 2024,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, fasa klinikal bagi kedua-dua calon vaksin tersebut virus akan bergantung kepada keputusan kajian praklinikal ke atas haiwan.
“Bagaimanapun, setelah kajian klinikal selesai, produk vaksin ini memerlukan kelulusan regulatori dan perlu mengenal pasti syarikat pengeluar vaksin.
“Kerajaan turut menyasarkan vaksin ini akan berada di pasaran menjelang tahun 2030 setelah kualiti, keselamatan dan efikasi vaksin tersebut diluluskan oleh NPRA,” ujarnya.
Pada 2021, MOSTI telah memperuntukkan hampir RM60 juta untuk penyelidikan dan pembangunan vaksin Covid-19 tempatan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan vaksin dari negara lain.
Daripada peruntukan itu, RM54 juta diperuntukkan kepada Institut Genom Malaysia manakala RM2.5 juta untuk pasukan penyelidikan membangunkan vaksin menggunakan teknologi mRNA.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pembangunan vaksin manusia adalah kompleks dan mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 tahun untuk membangunkan calon vaksin baru.
Katanya, kos pengeluaran vaksin juga berbeza-beza mengikut platform dan kerumitan persediaan selain melibatkan proses serta regulatori kerajaan yang perlu dipatuhi.
“Secara formulanya, bagi membangunkan satu produk vaksin, ia perlu melalui Fasa Ujian PraKlinikal ke atas Haiwan dan Fasa Kajian Klinikal ke atas manusia. Ia sangat penting bagi memastikan vaksin yang dihasilkan adalah selamat.
“Sesuatu produk vaksin hanya boleh memohon kelulusan pihak berkuasa yang mengawal selia ubat-ubatan setelah melepasi fasa klinikal ke atas manusia iaitu apabila terbukti selamat dan berkesan digunakan,” katanya. – UTUSAN









