UMNO tidak gadai Melayu, Islam – Mohamad Hasan

UMNO tidak gadai Melayu, Islam – Mohamad Hasan

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan menggadaikan bangsa Me­layu dan agama Islam yang menjadi asas perjuangan parti itu walaupun telah bersama dengan kerajaan perpaduan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, DNA UMNO ialah nasionalisme Melayu dan Islam yang akan sentiasa dipertahankan serta tidak pernah kendur.

Katanya, UMNO tidak pernah lupa diri hanya kerana duduk dalam kerajaan yang di dalamnya ada 19 parti termasuk DAP dan tidak bermakna parti itu membuang identiti agama dan Melayu.

“Kita parti nasionalis, mempertahankan Melayu dan Islam itu perjuangan kita, kerana itulah juga kita dipanggil ‘assabiyah’ (berpuak) selama berpuluh-puluh tahun oleh parti tertentu. Kita dilabel parti kesukuan dan perkauman fanatik. Sekarang hanya kerana haluan politik kita berbeza, kita difitnah membelakangkan Melayu dan Islam pula.

“Insya Allah, UMNO akan memperjuangkan Islam dan Melayu dalam kerangka ‘hubbul watan’ (mencintai negara) yang lebih sederhana dan lebih menghargai kepelbagaian Malaysia dengan unit politik dan sosialnya yang beraneka agama, kaum dan etnik serta budaya,” katanya dalam Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wa­nita, Pemuda dan Puteri UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.

Mohamad meminta semua pihak agar menghentikan segala keraguan tentang ketegasan pendirian UMNO untuk bangsa Melayu dan Islam setelah parti itu memilih bekerja dengan parti-parti kerajaan perpaduan demi masa depan Malaysia.

“Kesimpulannya kita tidak akan mundur ke belakang. Kita akan terus maju ke hadapan. Kita pro pembangunan. Kita mencintai perpaduan. Kita memilih ke­stabilan dan kemakmuran.

“UMNO prokemajuan. Propembaharuan dan pro­demokrasi. Kita memilih untuk bekerja dengan mereka demi Malaysia. Jadi, tidak timbul soal kita perlu undi parti itu atau parti ini,” jelasnya.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengundi dan memilih parti yang memerintah dan mengurus negara dengan semangat perpaduan dan boleh meneruskan kestabilan politik.

Tambah beliau, walaupun wujud berbeza pendirian dan perspektif yang bertentangan, namun ia tidak akan merencatkan pula kerjasama mereka untuk Malaysia yang lebih maju.

“Kerana itulah hikmah dalam berpolitik. Itulah juga semangat sebuah demokrasi. Yang pasti, UMNO akan mengurus perbezaan tersebut bersandarkan kepentingan perpaduan dan kesepakatan nasional. Realitinya ialah UMNO sebenarnya mewakili kepentingan Melayu dan Islam dalam kerajaan perpaduan.

“Jadi mari kita terokai jalan untuk mengukuhkan kerjasama ini di pelbagai peringkat dan lapangan. Kerana untuk UMNO, kembali ke acuan identity politics yang terlalu sempit dan terlalu terbatas, hanya akan lebih membataskan potensi UMNO dan Malaysia,” jelas Mohamad.

Pada masa sama, Mohamad berkata, kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan te­lah membuka potensi baharu untuk parti itu meskipun tidak pernah terlintas dan tidak pernah terbayang dek akal.

Katanya, UMNO sedang meneroka kerjasama politik yang unik, unprecedented atau belum pernah berlaku sebelum ini dan sangat luar biasa.

“UMNO dan BN sedang me­lalui eksperimen politik yang sangat penting. Panggillah apa pun, jajaran baharu, koalisi baharu, persefahaman baharu. Yang jelas, ia adalah haluan politik yang business as unusual (perniagaan seperti luar biasa).

“Iaitu pembentukan persefahaman politik yang berasaskan perpaduan dan kepen­tingan nasional. Jika selama berpuluh tahun, UMNO telah terbiasa dengan persefahaman politik to rule (untuk meme­rintah) namun tren yang kita lalui waktu ini pula ialah to unite and to govern (bersatu dan untuk memerintah),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×