CYBERJAYA: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mahu menyelesaikan 12 projek perumahan dari legasi terdahulu dengan sasaran untuk diselesaikan pada penghujung tahun ini atau suku pertama 2024.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, dalam tempoh tiga tahun bermula Ogos 2020 dibawah pengurusan baharu, syarikat berkenaan melalui satu fasa penyusunan semula strategi bagi memastikan mereka kembali fokus sebagai peneraju kediaman mampu milik.
Menurutnya, pelbagai penyelesaian isu-isu legasi berjaya dicapai sehingga hari ini melibatkan Projek Kediaman SPNB dan program Rumah Mesra Rakyat (RMR).
“Di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin, fokus utama SPNB adalah untuk menyelesaikan 12 projek perumahan dari legasi terdahulu.
“Sebanyak 1,828 unit atau 52 peratus berjaya disiapkan manakala 1,711 unit (48 peratus) sedang dalam pembinaan dan akan disiapkan sepenuhnya menjelang Mac 2024,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek Aspire Residence Cyberjaya hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek Aspire Residence Cyberjaya merupakan satu projek kediaman yang berjaya dibaik pulih oleh SPNB bermula penghujung 2020.
Katanya, dengan pembinaan yang dimulakan semula pada Mei 2022 oleh kontraktor penyelamat, SPNB yakin projek yang mencapai kemajuan lebih 96 peratus itu akan siap dan diserahkan kunci kepada pembeli pada September ini.
“SPNB selaku agensi pelaksana yang menyumbang kepada penyediaan rumah mampu milik berkualiti dan berdaya huni di bawah KPKT telah melaksanakan transformasi yang memberi impak positif signifikan kepada sektor pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat di negara,” ujarnya.
Tambah Kor Ming, SPNB bakal membina sebanyak 15,445 unit RMR dua tahun lebih awal, sekali gus menyumbang kepada empat peratus daripada sasaran keseluruhan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Menerusi RMK-12, kerajaan menyasarkan untuk membina sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 untuk memiliki kediaman sendiri dan SPNB telah dipertanggungjawabkan untuk membina 15,000 unit RMR di seluruh negara menjelang 2025,” katanya. -UTUSAN