TAMPIN: Anak sulung kepada mangsa tragedi mati lemas ketika menjala ikan di Pengkalan Balak, Melaka, kira-kira 13 tahun lalu berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin itu, Danish Haikal Mohd. Norizal, 18, memperoleh 8 A berkata, dia berharap dapat melanjutkan pelajaran dan bergelar seorang pendidik satu hari nanti.
Dia juga mahu membalas jasa ibunya, Sabariah Othman, 44, dan bapa tirinya, Zulkifli Mohamed Aziz, 53, yang bertungkus-lumus membesarkannya bersama dua lagi adiknya selepas kematian bapanya, Allahyarham Mohd. Norizal Mohd. Yusof,
“Buat masa ini, saya bekerja sebagai pekerja kantin di sekolah dengan upah RM50 sehari. Duit ini saya simpan untuk mengambil lesen motosikal dan persediaan melanjutkan pelajaran.
“Saya sebenarnya tidak sangka mendapat keputusan cemerlang, saya hanya fokus kepada pembelajaran di sekolah termasuk kelas tambahan yang diberikan guru di sekolah kerana tidak mahu bebankan kewangan keluarga saya,” katanya ketika ditemui di Taman Clonlee, di sini.
Pada 31 Mei 2010, Utusan Malaysia melaporkan kejadian dua biras lemas ketika menjala ikan di Pengkalan Balak, Melaka
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, kedua-dua mangsa, Mohd. Norizal yang ketika itu berusia 31 tahun dan Allahyarham Abu Mutalib Abu Bakar, yang pada ketika itu berusia 42 tahun, lemas selepas dihanyutkan air ketika menjala ikan dan udang di pantai itu.
Sementara itu, Danish Haikal berkata, tragedi yang menimpa arwah bapanya itu masih segar dalam ingatan walaupun pada ketika itu dia baharu sahaja berusia lima tahun.
“Pada pagi kejadian, sebaik terjaga dari tidur saya terus ke pantai dan melihat ibu sedang menangis di lokasi kejadian,” katanya.
Sementara itu, Sabariah berkata, dia sangat bersyukur apabila anaknya itu berjaya mendapat keputusan cemerlang dan berharap anaknya mendapat biasiswa bagi menampung pembelajaran.
Menurutnya, anaknya itu sememangnya selalu membantunya dalam mencari rezeki dengan menyiapkan bahan-bahan bagi membuat roti jala seperti membancuh tepung serta memesin kelapa.
“Kalau pada hari sekolah, Danish akan buat pada waktu malam dan menyimpannya di dalam peti ais. Dia memang seorang anak yang taat dan saya percaya buat anak-anak yang menjaga ibu dan bapanya, pasti ada hadiah yang Allah akan beri buatnya, seperti seorang pelajar di Kelantan,” katanya lagi.-UTUSAN.










