SPM 2022 lebih baik, tapi kualiti pendidikan dipersoal -Noor Azlan

SPM 2022 lebih baik, tapi kualiti pendidikan dipersoal -Noor Azlan

DR. NOOR AZLAN GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap sebenar status kualiti pendidikan negara masih menjadi persoalan biarpun kementerian Pendidikan mengumumkan buat pertama kalinya lebih 90 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 layak mendapat sijil selepas memperoleh kelulusan minimum lulus subjek Bahasa Malaysia dan Sejarah. 

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, secara umumnya keputusan SPM 2022 menunjukkan pencapaian pendidikan negara yang lebih baik dengan kementerian turut mengesahkan kualiti sistem pendidikan negara adalah setanding dengan pentaksiran antarabangsa. 

Lebih menyakinkan katanya, saban tahun masyarakat dimaklumkan pendidikan negara lebih baik dan semakin meningkat.

“Sebaliknya pula, diawal tahun 2023 Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan 170,000 murid sekolah di akhir sekolah rendah tidak mahir membaca. Sekitar 5.8 peratus atau 1.9 juta rakyat Malaysia tidak pernah bersekolah. Merisaukan.

“Penghujung Mei yang lalu, Malaysia digemparkan dengan laporan Menteri Pendidikan, hampir 50 peratus (180,680 pelajar) lepasan SPM 2021 tidak berminat menyambungkan pengajian mereka. Bertambah risau.

“Minat untuk menyambung pengajian yang sangat rendah ini lebih merisaukan kerana kini hanya 28 peratus tenaga kerja Malaysia adalah pekerja mahir (umumnya berpendidikan tinggi), jauh lebih rendah berbanding purata bagi beberapa buah negara maju iaitu sekitar 53 peratus. Menggusarkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Diperingkat pengajian tinggi, Noor Azlan berkata, agensi penarafan antarabangsa QS melaporkan kedudukan universiti-universiti Malaysia semakin meningkat dan negara juga mempunyai universiti bertaraf dunia. 

“Namun, sudah berkali Menteri Pengajian Tinggi mengingatkan, ‘ranking’ bukan matlamat pengajian tinggi negara. Institut Pengajian Tinggi (IPT) perlu mengembalikan keyakinan rakyat. Hasil kerja IPT mesti memberi impak kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Sejauh mana telah kita capai?

“Laporan Bank Dunia ‘Aiming High’ pada 2021, memberi rumusan yang sebaliknya, Malaysia berhadapan dengan cabaran menyediakan modal insan yang berkualiti. Pencapaian pendidikan Malaysia agak terkebelakang berbanding dengan negara-negara maju. Merunsingkan,” katanya. 

Justeru, katanya, Malaysia masih ketinggalan dalam konteks daya saing global kerana kualiti bakat negara saban tahun semakin merudum, berdasarkan penarafan daya saing global oleh  Institute for Management Development (IMD). 

Lebih menggerunkan, ujarnya, Malaysia berada pada tangga ke 14 terbaik didunia pada 2013, tetapi kini merudum jatuh ke tangga 36. 

“Rumusan yang berkecamuk diatas sangat mengelirukan. Dimana sebenarnya status kualiti pendidikan negara kita? Kita tidak boleh berterusan begini. Sekejap hebat, membanggakan dan menggembirakan dan sekejap risau, merunsingkan dan menggerunkan.

“Penyediaan bakat yang berkualiti adalah antara perkara terpenting yang perlu kita pastikan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Kita harus sepakat di mana kita hari ini. Sematlamat ke mana hendak kita tuju untuk Membangun Malaysia Madani,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya