SKMM terima 744 laporan penipuan menerusi Facebook - Utusan Malaysia

SKMM terima 744 laporan penipuan menerusi Facebook

Teo Nie Ching
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: :Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima sebanyak 744 laporan kes penipuan dalam talian menerusi medium media sosial Facebook sejak awal tahun hingga 25 Mei lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, angka itu menunjukkan perlunya kerjasama erat melibatkan agensi kerajaan dan penyedia platform media sosial supaya kes jenayah berkenaan dapat diambil tindakan segera.

“Kementerian maklum penyedia platform ada ‘community guidelines’.  Oleh itu, menjadi kebiasaan adakan perjumpaan bersama TikTok, Facebook dan Google untuk memastikan aktiviti yang melanggar undang-undang boleh diambil tindakan.

“Begitu juga jika ada ucapan bersifat perkauman dan sebagainya, kami boleh hantar laporan kepada penyedia platform, tetapi penyedia platform masih mengguna pakai atau rujuk garis panduan untuk buat keputusan, sama ada kandungan itu akan dipadam atau tidak,” katanya ditemui selepas menyaksikan tayangan filem Polis Evo 3 bersama Komuniti Polis Kulai, di sini hari ini.

Nie Ching berkata, pihaknya turut menerima laporan penipuan menerusi aplikasi Telegram sebanyak 17 kes, WhatsApp (16), Instagram (7) dan e-mel (1) dalam tempoh yang sama.

Mengenai tindakan Telegram mengabaikan jemputan kementerian untuk berbincang dan mencari penyelesaian berkaitan  beberapa aduan, Nie Ching berkata, perjumpaan itu bertujuan mewujudkan kerjasama dalam mengekang aktiviti jenayah dan bukan bersifat politik atau mengganggu kebebasan bersuara.

“Kalau mereka (Telegram) cakap bahawa perjumpaan pun tidak boleh kerana ia adalah campur tangan politik, saya mahu mempersoalkan adakah mereka fikir kita tidak ada kebebasan bersuara di Malaysia? Mereka ini ada ‘community guidelines’, tetapi untuk aktiviti yang memang menyalahi undang-undang seperti ‘online scam’, tindakan perlu diambil dan perlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Mengenai gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya kementerian memantau hantaran berkisar naratif kaum dan agama oleh pemimpin politik dalam laman sosial untuk diambil tindakan, Nie Ching mengingatkan semua pihak khususnya ahli politik supaya tidak berbuat demikian kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dan ahli politik juga dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian, perkauman dan agama terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri. Semua pihak terutama ahli politik perlu faham, ketika PRN memang ada persaingan, tetapi jangan disebabkan ada agenda dan mahu kemenangan, kita mengeluarkan kenyataan yang boleh beri kesan negatif kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya