PETALING JAYA: Titik keserasian antara DAP dan MCA selepas sudah enam bulan bersama membentuk kerajaan perpaduan masih menjadi tanda tanya terutamanya menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
Kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam bagaimanapun mengelak untuk menjawab persoalan tersebut.
Ketua Pemuda Sosialis DAP, (DAPSY), Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, DAP kini tidak mahu lagi memandang perseteruan lampau, sebaliknya menumpukan masa hadapan.
Justeru katanya, jika sesiapa wakil dipilih pimpinan tertinggi, maka DAP akan bekerja keras untuk memastikan wakil Kerajaan Perpaduan menang pada PRN nanti.
“Apabila pembahagian kerusi diselesaikan, semua akan bekerja keras untuk semua wakil dan pilihan parti kerajaan, kita memang fokus PRN dan tumpu untuk bantu wakil-wakil parti Kerajaan Perpaduan untuk menang.
“Jadi, kita akan sokong dan berkempen untuk semua wakil parti kerajaan, jadi fokus kami bukan atas hubungan masa dulu, tetapi fokus masa depan untuk pastikan semua wakil dan calon kerajaan menang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keserasian antara DAP dan MCA yang sebelum ini boleh dikatakan seteru politik.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas, DAP dan MCA bertembung antara satu sama lain di 28 kerusi Parlimen.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.
“Tidak apa, tunggu, bukan waktu lagi, nanti saya akan beritahu, setakat ini tiada komen,” katanya ringkas.
Kelmarin media melaporkan, rundingan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi enam PRN akan datang hampir selesai dengan hanya sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dimuktamad. – UTUSAN










