'Scammer' hanya tinggalkan RM1 dalam akaun - Utusan Malaysia

‘Scammer’ hanya tinggalkan RM1 dalam akaun

KOO KAH PEN (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat setelah menjadi mangsa 'scammer' dalam sidang akhbar di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bapa kepada tiga anak terkedu apabila wang gaji yang diperuntukkan untuk perbelanjaan bulanan keluarganya hanya tinggal RM1.

Situasi itu dialami ejen insurans, Koo Kah Peng, 53, apabila memeriksa baki akaun banknya secara dalam talian pada pukul 11 pagi, 20 Mei lalu ketika berada di rumahnya di Taman Pelangi Indah, di sini.

“Setelah mendapati wang dalam akaun hilang dan hanya tinggal RM1 berbanding RM11,093 saya rasa bimbang mungkin kad bank saya tercicir, tetapi setelah periksa ia tidak hilang. Saya kemudian terus ke cawangan bank berkenaan bagi mendapatkan penjelasan sebelum mereka menunjukkan rekod transaksi berlakunya pemindahan wang ke akaun bank seorang lelaki tidak dikenali bernama Nicholas.

“Transaksi pemindahan wang itu dibuat sebanyak empat kali dalam tempoh enam minit, iaitu antara pukul 10.19 pagi hingga 10.25 pagi, melibatkan kerugian sebanyak RM11,092,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Kah Peng mengaku tidak mengenali siapa Nicholas dan tidak pernah membenarkan sebarang pemindahan wang daripada akaun bank miliknya dibuat oleh mana-mana pihak.

“Selepas itu, saya terus membuat laporan di Balai Polis Pelangi Indah pada 20 Mei lalu, selain itu saya turut melaporkan kejadian ini ke Bank Negara Malaysia (BNM).

“Rasa sangat sedih kerana wang itu adalah wang gaji yang sepatutnya digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk persekolahan tiga orang anak, namun tidak disangka ia menjadi sasaran ‘scammer’,” katanya.

Kah Peng turut memberitahu, pihak bank juga masih menjalankan siasatan bagaimana transaksi wang berkenaan boleh berlaku.

Sementara itu, Setiausaha DAP Cawangan Johor Jaya, Mok Meng Haw berharap agar pihak bank dapat meningkatkan aspek keselamatan khususnya melibatkan wang dan data peribadi pelanggan.

“Ini penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa depan melibatkan individu lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN