Saya telah mohon maaf secara peribadi - Janna Nick

Saya telah mohon maaf secara peribadi – Janna Nick

JANNA Nick memberitahu dia sudah memohon maaf daripada Ustaz Wadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya sedar itu merupakan kelalaian dan kesalahan dari pihak saya. Mungkin majlis itu tidak sesuai dengan Ustaz Wadi”.

Demikian jawapan pelakon, Janna Nick berhubung kontroversi melibatkan kehadiran penceramah selebriti, Ustaz Wadi ke majlis perkahwinannya baru-baru ini.

Janna berkata, tujuan dia menjemput penceramah tersebut adalah mengetuai majlis doa selamat dan bacaan Yasin yang diadakan malam sebelum pernikahannya.

Namun demi menghormati dan memenuhi jemputan pihak pengantin, Ustaz Wadi tetap hadir membacakan doa ketika majlis resepsi berlangsung.

“Ustaz Wadi hadir untuk mengetuai majlis doa selamat dan bacaan Yasin pada malam sebelum pernikahan. Malam itu juga, dia ada menyampaikan ceramah bertajuk Memimpin Isi Rumah Ke Syurga.

“Ustaz Wadi ketika itu tahu ada undangan perkahwinan dan saya tidak tahu hukum dalam Islam kalau dah jemput orang itu, wajib kena datang.

“Saya minta maaf itu adalah kealpaan saya, saya sedar itu merupakan kelalaian dan kesalahan dari pihak saya,” jelasnya.

Pelakon tersebut ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Jemputan Ke Neraka yang turut menampilkan pelakon lain antaranya Sharifah Sakinah, Amy Nurtinie dan Hariz Hamdan semalam.

Dalam pada itu, Janna berkata, dia menghormati golongan asatizah dan tidak mahu memanjangkan lagi isu tersebut apatah lagi melibatkan reputasi serta nama baik penceramah tersebut.

“Ustaz Wadi pun dah buat penjelasan daripada pihak dia, saya juga tidak mahu panjangkan isu ini.

“Saya sangat menghormati Ustaz Wadi dan juga para ulama yang ada di Malaysia, sebab mereka adalah para ilmuan yang banyak sampaikan ilmu kepada kita semua rakyat Malaysia.

“Saya sebagai orang yang cetek ilmu sangat menghormati mereka semua. Kalau mahu bandingkan nama saya denga dia sangat jauh beza. Saya rasa hina sangat kalau mahu panjangkan kontroversi ini,” katanya.

Sementara itu, pelakon Kimchi Untuk Awak itu juga memohon agar semua pihak berhenti mengaitkan namanya dengan penceramah tersebut terutama melibatkan kontroversi tersebut.

“Saya mohon kepada orang ramai untuk tidak lagi kaitkan nama Ustaz Wadi dengan saya. Saya juga telah membuat permohonan maaf secara peribadi dengan dia.

“Semoga semua orang boleh hentikan isu ini dan tidak berlaku perbalahan. Niat saya hanya mahu mohon keberkatan daripada orang yang ilmunya tinggi untuk mendoakan perkahwinan saya,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN