Sanusi perlu tunjuk bukti kartel padi –Mahfuz 

Sanusi perlu tunjuk bukti kartel padi –Mahfuz 

MAHFUZ Omar (tiga kiri) merasmikan reruai pameran LPP sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meminta Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengemukakan bukti tentang dakwaan kewujudan kartel serta penipuan alat timbangan dalam sektor pertanian di negeri ini.

Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika benar dakwaan itu wujud, Muhammad Sanusi sepatutnya mengenengahkan isu itu ke saluran yang tepat dan bukan menjadikan ia bahan ucapan di khayalak ramai.

“Di tengah kehadiran petani, peladang dan pegawai kerajaan, memang orang pakat tepuk tangan bila dia kata ada penipuan dalam penimbang padi yang menggunakan ‘setting’ musim lalu untuk guna musim ini. Bagi saya, kalau dia ada bukti, buat laporan rasmi.

“Dia kena tahu prosedur, kalau ada kilang kecoh (tipu), kena buat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kalau ada rasuah. Dia tak boleh lontar ada penipuan, takkan kita nak salahkan pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan pegawai pertanian sembunyikan (hal ini).

“Tak adil sebab semua tak tahu kilang mana yang tipu. Dia ada bukti kita cabar tunjuk ‘report’, kilang mana,” katanya selepas merasmikan reruai Pameran LPP sempena Hari Peladang Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) di sini.

Kelmarin, Muhammad Sanusi ketika merasmikan HPPNK mendakwa wujud kartel dalam industri padi di negeri ini selain dakwaan berlaku penipuan di kilang beras berkaitan alat penimbang yang tidak tepat.

Mengulas lanjut, kata Mahfuz, tindakan Muhammad Sanusi membuat dakwaan melulu itu juga dilihat mendatangkan rasa tidak senang dalam kalangan petani dan para pegawai kerajaan yang berkhidmat dalam agensi di bawah industri pertanian.

“Buktikan! Kalau tak, saya minta para petani ini buat perhimpunan depan Seri Mentaloon (kediaman rasmi). Suruh dia (Muhammad Sanusi) kemuka bukti. Kalau tak (ada) jangan bohong petani.

“Yang jadi masalah sekarang pertama sekali ialah pegawai kerajaan sama ada pegawai kerajaan di peringkat pusat dan kerajaan negeri yang saling berurusan. Jadi, masalah kerana masalah politik itu sangat tegang,” katanya.

Katanya, selain itu, Muhammad Sanusi juga perlu membuktikan dakwaannya bahawa Pulau Pinang milik Kedah yang disifatkan hanya mendatangkan ketegangan.

“Dia sendiri kena hantar bukti ke mahkamah untuk tunjuk bahawa Pulau Pinang milik Kedah. Jangan bercakap seolah-olah nak jadi hero nak berlawan dengan Cina dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menyentuh tentang persediaan menghadapi perubahan iklim akibat El Nino kata Mahfuz, semua agensi di bawah industri pertanian sudah digerakkan dengan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya ia menjejaskan tanaman padi.

“Yang penting, para petani ini bergerak seiring dengan jentera yang disiapkan oleh kerajaan dan mesti akur dengan prosedur yang disediakan. Sekarang, belum terjejas, cuma sistem pengairan mesti dibaiki kalau ada perubahan (terjejas),” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.