Remaja perempuan ditahan ugut sebar gambar tidak senonoh - Utusan Malaysia

Remaja perempuan ditahan ugut sebar gambar tidak senonoh

Idris Abdul Rahman,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Seorang remaja perempuan ditahan bagi membantu siasatan kes peras ugut terhadap seorang wanita membabitkan kerugian RM27,000.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Idris Abdul Rahman, suspek berusia 17 tahun ditahan di Taman Seri Nilam kira-kira pukul 4 petang kelmarin susulan laporan yang dibuat mangsa di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, Isnin lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan laman Facebook milik individu lain atas nama ‘Rayyan Razak’ untuk mengugut menularkan gambar tidak senonoh mangsa jika gagal menyerahkan sejumlah wang.

“Kejadian bermula selepas mangsa mengenali suspek menerusi laman sosial Instagram pada 28 Januari lalu. Sejak itu, sebanyak RM27,000 telah diserahkan mangsa kepada suspek menerusi 32 transaksi dalam tiga akaun berlainan selepas suspek terus menggunakan modus operandi sama untuk mengugut mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ugutan terakhir dilakukan suspek pada pukul 11.20 malam 31 Mei lalu dengan suspek meminta wang sebanyak RM600 dan mangsa nekad memberitahu ibunya tentang perkara itu keesokannya sebelum membuat laporan polis.

Siasatan juga mendapati mangsa yang berusia 20 tahun tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan suspek.

Idris berkata, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah telefon berjenama Oppo berserta kad sim, sekeping kad bank dan wang tunai berjumlah RM152 daripada suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda dan sebatan atau dengan mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Suspek yang tidak bekerja tetap kini direman tiga hari hingga esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya