PETALING JAYA: Kesangsian pengundi Melayu terhadap DAP yang digelar parti cauvinis semakin berkurangan sejak Kerajaan Perpaduan mentadbir negara.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan berkata, hal itu didorong oleh perkhidmatan terbaik dan cemerlang yang diberikan wakil-wakil rakyat parti itu termasuk empat menteri.
Katanya, perkembangan positif itu sekali gus membuktikan DAP menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengancam mana-mana bangsa terutama orang Melayu.
“Kalau hendak diikutkan DAP ada empat menteri dalam Kerajaan Perpaduan dan nak dibandingkan dengan jumlah kerusi Parlimen yang kita menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ia tidak berkadar (setimpal).
“Tetapi dengan empat menteri ini, kita mahu tunjukkan prestasi dan pencapaian di samping menepis apa yang dimomokkan kepada DAP hanyalah propaganda politik oleh musuh kami semata-mata.
“Daripada situ, saya rasa sedikit sebanyak dapat kurangkan kesangsian dalam kalangan orang Melayu terutama masyarakat luar bandar,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Syahredzan berkata, keutamaan DAP bukan pada isu bangsa atau agama, sebaliknya mahu memberikan perkhidmatan terbaik agar rakyat dan negara terus sejahtera serta bergerak ke hadapan.
Ahli Parlimen Bangi itu turut melahirkan keyakinan DAP mampu mencipta kejutan dan menarik banyak sokongan orang Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, perkara itu tidak mustahil berdasarkan kemenangannya di Parlimen Bangi atas tiket DAP pada PRU15 yang lalu.
Tegasnya, situasi itu jelas menunjukkan yang parti tersebut sememangnya memiliki sokongan berterusan daripada orang Melayu.
“Sebabnya, rakyat mahukan kestabilan tanpa mengira kaum selain keyakinan mereka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang mampu membawa Malaysia ke satu peringkat dan dikenali di persada dunia.
“Faktor ketiga pula dengan melihat konteks di negeri Selangor. Kita ada rekod baik dalam tempoh 15 tahun memimpin negeri ini. Penduduk dan rakyat Selangor sedar perkara ini,” katanya. – UTUSAN










