SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan pasti akan menampilkan individu yang akan mewakili pelbagai peringkat usia sebagai calon parti itu di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi dalam pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, BN dan UMNO tentunya juga akan tampil dengan calon-calon muka baharu termasuk dalam kalangan golongan muda.
“Saya percaya calon yang akan terpilih nanti merupakan calon yang terbaik bagi mewakili semua golongan peringkat umur. Ada pemimpin lama akan dikekalkan, ada pemimpin baharu, ada daripada wakil wanita dan pemuda yang bakal diletakkan kepercayaan di kawasan DUN tertentu di negeri ini.
“Paling penting ini adalah calon terbaik yang bakal kita pertaruhkan, calon-calon ini yang akan terpilih ini akan bekerja kuat dan mempunyai pemikiran kehadapan untuk pastikan sesuatu yang tidak boleh ditolak pengundi di kawasan itu bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui di pejabatnya di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jalaluddin dalam pada itu menambah, senarai cadangan calon bagi mewakili BN kini diperingkat penelitian sebelum ia dibawa ke peringkat Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dibuat keputusan muktamad.
“Soal calon pula kini dalam proses penelitian, ia akan dilihat dan diteliti sebelum diangkat senarai akhir kepada Presiden untuk dibuat keputusan muktamad siapakah yang bakal dipertaruhkan untuk bertanding di setiap kerusi DUN yang akan ditandingi oleh BN dan UMNO.
“Setiap DUN mempunyai tiga, empat nama calon, saya sudah minta Ketua UMNO setiap bahagian untuk senaraikan calon masing-masing, ia akan dibuat penelitian, tapisan dan ia akan dibawa kepada Presiden untuk keputusan, saya cuma mencadangkan sahaja,” katanya lagi.
Daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di Negeri Sembilan, BN dijangka bertanding di 16 buah kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Baki 20 buah kerusi pula dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) yang sekali gus membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas pilihan raya itu.
Bagaimanapun, memasuki PRN tidak lama lagi sebagai rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO Negeri Sembilan meminta pertimbangan PH untuk diberikan tambahan dua buah kerusi lagi untuk ditandingi menjadikan jumlah seimbang sebanyak 18 kerusi DUN untuk ditandingi kedua-dua gabungan itu.-UTUSAN.