TAMPIN: Siasatan lanjut berhubung kejadian seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam insiden bom lempar meletup ketika latihan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, di sini tengah hari tadi diteruskan dengan bantuan pasukan forensik.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 2.54 petang daripada pengadu iaitu seorang anggota tentera berkaitan kematian seorang pelatih semasa latihan bom grenad di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
“Dalam kejadian tersebut seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua orang jurulatih telah mengalami kecederaan parah.
“Kedua-dua mangsa yang cedera parah telah diberi rawatan awal di Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin Gemas dan kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Segamat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dengan bantuan dari pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang turut berada di tempat kejadian untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Tambahnya, buat masa ini siasatan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Terdahulu Markas Tentera Udara menerusi kenyataan mengesahkan berlaku satu insiden kejadian kemalangan melibatkan tiga orang anggota TUDM di Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini.
Insiden melibatkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar, Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
“Kemalangan berlaku pada pukul lebih kurang 12.10 tengah hari mengakibatkan seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian. Dua orang jurulatih mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat.
“Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota TUDM yang terlibat dan menyerahkan kes kejadian kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan. TUDM seterusnya akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.-UTUSAN.